• Sektor awam beri kehidupan dan faedah lebih baik

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 30 April 2018
    A- A+

    Oleh Siti Salwa Shaari

    KUANTAN, 30 April (Bernama) -- Melihat anak muda berteduh di bawah jejantas atau jambatan, menyebabkan Azizi Alauddin sering teringat kenangannya bersama motosikal jenis EX5 yang menjadi medium pengangkutannya dari zaman belajar sehingga awal tahun bekerja.

    Berhenti berteduh, terkena air lopak, tayar pancit, kehabisan minyak dan berhadapan dengan kenderaan yang tidak memberi lampu isyarat menjadi lumrah kepada Azizi, 30, yang semasa itu bergelar pensyarah sambilan di sebuah kolej swasta di ibu negara.

    Kini, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pelancongan,Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bersyukur kerana kehidupannya bertambah baik sejak menerima tawaran kerja di Tourism Pahang di sini, lima tahun lepas sebagai pegawai pelancongan.

    "Jika dibandingkan, kehidupan lebih stabil khususnya dalam aspek kewangan. Alhamdulillah selepas beberapa bulan bekerja saya dapat membeli kereta pertama bagi memudahkan tugas kerana saya perlu banyak bergerak selain faktor keluasan Pahang.

    "Walaupun kereta dibeli atas alasan kerja, namun yang paling seronok adalah emak kerana beliau beranggapan risiko kemalangan agak kurang jika dibandingkan dengan menunggang motosikal," katanya kepada Bernama di sini.

    Azizi yang masih bujang itu juga bercadang untuk membeli rumah pada tahun ini, dan sedang meninjau sama ada mahu membeli rumah yang ditawarkan di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Dong, Raub yang merupakan tempat kelahirannya.

    Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata ibunya, Rashidah Suhaimi, 58, adalah orang paling gembira apabila dimaklumkan beliau 'mendapat rezeki bekerja kerajaan' kerana sering mendengar faedah yang ditawarkan kerajaan daripada rakan-rakannya yang mempunyai anak di sektor awam.

    "Alhamdulillah juga kerana saya sendiri rasa lebih terjamin. Pendapatan tetap jika dibandingkan dahulu secara sambilan... selalu juga saya risau apa yang akan berlaku jika kontrak mengajar tidak disambung.

    "Selepas setahun di pejabat Tourism Pahang, saya juga boleh memberi wang saku lebih sedikit kepada emak walaupun dia sering berkata jumlah yang diberikan dahulu sudah mencukupi," katanya.

    Azizi menambah apa yang paling disukainya adalah faedah dan kemudahan yang diperolehi sebagai penjawat awam, khususunya kemudahan perubatan yang bukan hanya untuk dirinya tetapi juga meliputi ibu dan bapanya.

    Katanya faedah itu ternyata sangat membantu ketika ibunya perlu menjalani pembedahan kecil akibat kencing manis sebanyak dua kali di Hospital Lipis, apabila ibunya ditempatkan di wad yang lebih selesa.

    Sementara itu, Pembantu Tadbir Perkeranian Operasi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Fuaad Fati, 30, menyifatkan beliau membuat keputusan yang tepat untuk meletak jawatan sebagai penyelia sebuah hotel di sini, tiga tahun lalu untuk menyertai sektor awam.

    Beliau berkata 'kejayaan paling manis' untuknya adalah apabila dapat mengerjakan umrah bersama neneknya Zainah Nalam, 71, pada tahun pertama beliau menyertai sektor awam dan jika diizinkan beliau sekali lagi akan ke Tanah Suci pada akhir tahun ini.

    "Saya rapat dengan nenek kerana saya tinggal dengannya sejak kecil. Jadi bila dapat masuk kerajaan, nenek suka kerana waktu kerja saya yang tetap, kerja lebih terjamin, faedah yang diterima dan paling utama, arwah datuk juga adalah pesara kerajaan iaitu di Jabatan Kerja Raya (JKR).

    "Nenek terkejut dengan gaji saya kerana menurutnya terlalu jauh berbeza daripada gaji arwah datuk dahulu. Katanya dah banyak naik kerana gaji datuk kecil sahaja walaupun jawatannya lebih tinggi daripada saya. Saya seloroh (dengan nenek) mengatakan sesuailah mengikut peredaran zaman," katanya.

    Bagi Fuaad, yang merupakan pemegang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka UiTM, faedah yang paling disukainya ialah waktu rehat pada hujung minggu kerana perkara itu tidak pernah dinikmatinya semasa bekerja dalam bidang perhotelan.

    Katanya hari kelepasan hujung minggu itu membolehkan beliau yang bertugas di Pulau Meranti, Puchong, Selangor pulang ke Kuantan setiap petang Jumaat untuk bertemu neneknya sebelum bergerak balik terus ke tempat kerja pada pagi Isnin.

    "Cuti juga lebih mudah untuk dirancang. Sejak tiga tahun lalu, saya dan nenek telah beberapa kali bercuti di dalam dan luar negara. Jika dahulu, ada percutian yang dibayar oleh nenek, tapi sekarang saya diberi kemampuan untuk turut menghulur dan membalas budi nenek," katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Sektor awam beri kehidupan dan faedah lebih baik "