• Sediakan Perkhidmatan Terbaik Bukan Omong Kosong

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 24 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA - Komitmen kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang merupakan antara terbaik di dunia untuk rakyat Malaysia, bukanlah omong kosong, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Perdana menteri berkata ini terbukti apabila Laporan Jurnal Antarabangsa Pelancongan Kesihatan mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2015.

    Katanya majalah International Living turut mengiktiraf Malaysia sebagai antara lima negara terbaik di dunia dalam bidang penjagaan kesihatan.

    “Ini kerana akujanji dibuat kerajaan berjaya dilaksanakan. Dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kita tetapkan penjagaan kesihatan dan gaya hidup antara satu daripada 14 teras keutamaan diperjuangkan kerajaan untuk lima tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

    Menerusi akujanji berkenaan, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menambah baik dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mudah diakses rakyat.

    Najib berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM27 bilion dan RM26 bilion kepada Kementerian Kesihatan, masing -masing dalam Bajet 2018 dan 2017 yang lalu.

    Peruntukan besar itu penting untuk mencapai sasaran nisbah seorang doktor bagi 400 penduduk menjelang 2030, katanya.

    Dalam konteks penyakit kanser di Malaysia, Najib berkata kanser adalah penyebab kematian keempat tertinggi di Malaysia pada 2015, dan sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat menjalani saringan awal kanser kerana dianggarkan 65 peratus kes yang dirujuk di hospital sudah mencapai tahap kronik dan teruk.

    “Saya hairan, kenapa orang tidak mahu melalui ujian kesihatan termasuk kanser. Mereka takut pergi ke hospital, takut mengetahui keadaan sebenar sehingga dapat dikesan, pada masa itu sudah berada di tahap empat,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran serta memajukan lagi bidang penjagaan kesihatan negara termasuk memberi tumpuan kepada pendidikan mengenai gaya hidup sihat, pencegahan awal, serta amalan pemakanan yang baik dalam kalangan rakyat. -Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Sediakan Perkhidmatan Terbaik Bukan Omong Kosong "