• Saudi Larang Lawat Jabal Thur, Gua Hira’ Ketika Umrah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+

    RIYADH – Kementerian Umrah dan Haji Arab Saudi dilaporkan mula melarang semua kegiatan lawatan ke beberapa tempat bersejarah semasa menunaikan umrah, berkuat kuasa serta-merta.

    Larangan tersebut diumumkan pihak berkuasa melalui sepucuk surat rasmi turut diterima beberapa rombongan ibadah berkenaan termasuk agensi pelancongan dari seluruh dunia yang gemar melakukan aktiviti itu selama ini.

    Agensi berita Mediacorp Singapura hari ini turut dilaporkan telah mendapat salinan surat yang ditandatangani oleh Abdul Aziz Abdul Rahim, wakil daripada kementerian tersebut bagi memaklumkan mengenai larangan baharu itu.

    Tempat-tempat yang dimaksudkan oleh kerajaan Arab Saudi antaranya ialah kawasan Bani Saad, Masjid Kuu’ dan Masjid Ibn Abbas di bandar Taif serta Jabal Thur dan Jabal Noor, termasuk Gua Hira’ di Makkah.

    Surat berkenaan ada menyatakan bahawa langkah berkenaan terpaksa diambil setelah ia mendapati terdapat segelintir pengunjung melakukan perkara yang dianggap “syirik dan tahayul” di tempat-tempat tersebut.

    Menurutnya lagi, pernah berlaku juga insiden apabila para pengunjung mengalami kecederaan semasa cuba memanjat bukit dan ada kalanya yang membawa maut akibat tidak mengutamakan aspek keselamatan.

    Surat tersebut turut menambah bahawa memandangkan lawatan-lawatan itu memang dianggap sebagai tidak wajib, ia meminta pihak agensi untuk tidak memasukkannya dalam rancangan perjalanan rombongan jemaah umrah.

    Mereka yang didapati sengaja ingkar melanggar perintah ditetapkan tersebut akan dikenakan denda oleh Kementerian Umrah dan Haji Saudi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Saudi Larang Lawat Jabal Thur, Gua Hira’ Ketika Umrah "