• Satu logo: Gambar Wan Azizah, bukan Mahathir di seluruh negara

    Published: Tuesday, 10 April 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR 10 April - Apabila Gabungan Pembangkang PKR memilih bertanding menggunakan logo tunggal, maka terdapat beberapa implikasi terutama dari segi gambar pemimpin utama yang boleh dipasang di semua kawasan pilihan raya di seluruh negara.

    Persoalannya biar pun Tun Dr. Mahathir Mohamad calon Perdana Menteri sementara gabungan itu, tetapi beliau tetap bukan pemimpin utama PKR dan apakah kedudukan ini meletakkan beliau seperti calon lain.

    Ketika ditanya perkara ini kepada bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, beliau berpandangan yang gambar Dr. Mahathir dalam apa keadaan memang tidak boleh dipasang kecuali di kawasan yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Beliau berkata, Gabungan Pembangkang PKR hanya boleh mempamerkan gambar Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR seperti yang diisytiharkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

    Walau bagaimanapun katanya, gambar Dr. Mahathir dibenarkan untuk dipamerkan di poster atau kain rentang di kawasan Parlimen beliau bertanding sahaja.

    “Pakatan hanya boleh mempamerkan logo PKR, gambar calon yang bertanding dan pemimpin utama parti itu seperti yang diisytihar kepemimpinan PKR kepada ROS.

    “Ini bermakna, calon DAP yang bertanding di Seputeh atas tiket PKR, mereka tidak dibenarkan meletakkan gambar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng, begitu juga dengan PPBM (dibubarkan sementara), gambar Dr. Mahathir tak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Menurut Wan Ahmad yang bersara pada 28 November 2013, pandangan beliau ini berdasarkan tatacara serta prinsip yang diguna pakai SPR dalam urusan PRU-12 dan PRU-13 lalu.

    Jumaat lalu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara mengesahkan keempat-empat parti dalam Pakatan akan menggunakan logo PKR dalam PRU-14. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Satu logo: Gambar Wan Azizah, bukan Mahathir di seluruh negara "