• Sarawak Mampu Urus Empangan Bakun

    Published: Thursday, 5 April 2018
    A- A+

    “Anak Sarawak tidak malas, tamak dan lembab sebab itu saya cukup yakin dengan kebolehan mereka dan mengambil inisiatif menyerahkan Empangan Hidroelektrik Bakun kepada Kerajaan Sarawak,” kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, keputusan Kerajaan Pusat menyerahkan aset di Belaga itu kepada kerajaan negeri membuktikan keyakinan terhadap kebolehan 'anak Sarawak' mengendalikan sendiri aset strategik berkenaan.

    Katanya, inisiatif itu juga bukti jelas bahawa dakwaan dilemparkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini tidak benar.

    “Kita cukup memahami dalam kalangan 'anak Sarawak', ada satu semangat kebanggaan untuk memiliki dan menguruskan Empangan Hidroelektrik Bakun," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri Sarawak, hari ini.

    Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB), Sharbini Suhaili.

    Najib yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke negeri berkata, peluang itu seharusnya dimanfaatkan oleh 'anak Sarawak' bagi membuktikan dakwaan pemimpin veteran berkenaan salah sama sekali.

    "Buktikan kepada ‘old man’ (orang tua) itu bahawa dakwaan beliau salah, dan sememangnya 'anak Sarawak' cukup gigih dan berpotensi untuk berjaya," katanya.

    Beliau ketika mengulas lanjut turut menyifatkan Dr Mahathir bukan 'kawan' atau 'sahabat' kepada negeri ini apabila tergamak melabelkan rakyat negeri itu sebagai malas, tamak dan lembab.

    "Jika begitulah pemikiran beliau, dalam keadaan usia 92 tahun, saya yakin beliau tidak akan berubah sampai bila-bila. Jadi, 'anak Sarawak' perlu sahut itu sebagai cabaran, uruskan empangan ini dengan baik, uruskan Sarawak dengan baik, " katanya.

    Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menyatakan keyakinan dengan potensi Bumi Kenyalang muncul sebagai negeri maju berpendapatan tinggi di negara ini, malah lebih awal dari disasarkan.

    "Dengan kepelbagaian sumber dimiliki, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui, Sarawak turut mendokong misi negara membangunkan sumber tenaga mesra alam berasaskan kuasa hidro, seterusnya mampu memperkukuhkan ekonomi Malaysia.

    "Dengan pengambilalihan ini juga, Sarawak kini memiliki kuasa penuh terhadap empat empangan hidroelektrik iaitu Bakun, Baleh, Murum dan Batang Ai, yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan negeri serta sosio-ekonomi rakyat," katanya.

    Katanya, kelebihan itu juga mampu mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pilihan pelaburan utama di Malaysia, terutama di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

    "Sarawak memiliki tarif elektrik terendah di Malaysia dan Asia Tenggara iaitu pada kadar 28.2 sen per kilowatt berbanding Semenanjung (39.4 sen per kilowatt per jam), ia tentunya menarik minat lebih ramai pelabur asing menanam modal di negeri ini, selain pelbagai insentif ditawarkan kerajaan negeri," katanya.-myMetro
  • No Comment to " Sarawak Mampu Urus Empangan Bakun "