• Sarawak Jana Hasil Dari Empangan Hidroelektrik

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memanfaatkan empat empangan hidroelektrik yang dimiliki untuk meningkatkan pendapatan dengan menghasilkan dan menjual tenaga yang boleh diperbaharui termasuk pengeluaran gas cecair hidrogen bagi kegunaan pengangkutan awam.

    Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, selain daripada sumber tenaga semulajadi seperti bahan bakar fosil, arang batu dan solar, pembangunan kuasa hidro merupakan perniagaan yang baik untuk diterokai.

    Katanya, projek pembinaan empangan hidroelektrik mempunyai potensi tinggi pada masa hadapan kerana mampu menghasilkan pengeluaran tenaga yang tinggi, rendah kos operasi dan boleh beroperasi selama berdekad iaitu sehingga 100 tahun.

    “Ketika ini, Sarawak mempu­nyai tiga empangan hidroelektrik iaitu Empangan Hidroelektrik (HEP) Batang Ai di Sri Aman, HEP Murum dan HEP Bakun di Bintulu, manakala HEP Baleh di Kapit yang dalam pembinaan dan dijang­ka siap menjelang 2026.

    “Penggunaan tenaga hidro se­bagai sumber mampan telah memberi banyak manfaat ke­rana ia membolehkan kerajaan Sarawak merancang strategi pem­bangunan bagi negeri ini,” katanya berucap merasmikan Per­sidangan Tenaga Mampan An­tarabangsa Keempat 2018 di sini hari ini.

    Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri S. K. Devamany; Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom dan Setiausaha kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, tenaga dihasilkan oleh empa­ngan hidroelektrik berkenaan te­­lah membolehkan kerajaan ne­­geri menawarkan harga tarif elektrik yang kompetitif atau ren­dah di peringkat global, seterusnya menarik syarikat indus­tri melabur di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sa­rawak (SCORE).

    Sementara itu, dalam sidang media pula, Abang Johari memberitahu, kerajaan negeri sudah meluluskan sejumlah peruntukan kepada syarikat utiliti milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menjalankan kajian bersama pakar dalam pengeluaran gas cecair hidrogen bagi penggunaan pengangkutan awam.- Utusan Online
  • No Comment to " Sarawak Jana Hasil Dari Empangan Hidroelektrik "