• RUU355 tidak dibahaskan

    Published: Thursday, 5 April 2018
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Sekali lagi Pas dikecewakan apabila Dewan Rakyat menangguhkan pembentangan pindaan usul Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sehingga persidangan pertama lepas PRU14 nanti.

    Meskipun usul persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang-Pas) itu diletakkan dalam kedudukan kedua aturan urusan mesyuarat dan usul-usul di Dewan Rakyat, namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said hanya mencadangkan untuk membahaskan usul dibawa Menteri Kewangan sahaja yang tercatat dalam usul pertama.

    “Mohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan selepas selesai usul pertama dari Menteri Kewangan, selepas itu mesyuarat akan ditangguhkan hingga ke tarikh yang tidak ditetapkan,” kata Azalina.

    Tindakan itu menyebabkan Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-Pas) bangkit meminta penjelasan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

    “Memandangkan rakyat yang menyokong RUU355 ini beranggapan bahawa Presiden Pas tidak melaksanakan tugas sewajarnya bagi meneruskan usul itu.

    “Di luar sana heboh kata Marang tidak benarkan usul ini dibahaskan, sedangkan ia bukan bidang kuasa Marang tetapi budi bicara Yang Di Pertua Dewan ini sendiri.

    “Jadi adakah usul yang separuh didengar, dibentangkan dalam Dewan Mulia akan dibahaskan sekali lagi pada sesi Parlimen ke-14 akan datang,” kata Takiyuddin.

    Pandikar bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memberikan keputusan memandangkan tidak mengetahui kedudukannya dan jika keputusan dibuat ia sudah tidak relevan pada sesi akan datang.

    “Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 15 (1) iaitu utamakan urusan kerajaan dan masih terikat dengan 12(1) iaitu kerajaan sendiri tentukan apabila urusan kerajaan selesai, kerajaan punya hak tentukan.

    “Usul yang sebelum ini dibentangkan di Dewan Rakyat dulu juga adalah kehendak kerajaan dan saya tidak mengawal urusan.

    “Dalam hal ini bagi saya RUU355 telah dibentang, disokong dan tinggal dibahas. Marang sudah buat tanggungjawab beliau sebaik mungkin mengikut prosedur ditetapkan,” kata Pandikar.

    Dalam pada itu, Pandikar tidak dapat memberi keyakinan kepada Takiyuddin bahawa usul itu akan dibahaskan pada persidangan lepas PRU14.

    “Parlimen baharu, saya tidak tahu siapa yang akan duduk sebelah kanan, siapa yang akan duduk sebelah kiri nanti.

    “Kalau saya buat peraturan terhadap perkara itu risau juga sudah tidak relevan nanti,” jawabnya.- Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " RUU355 tidak dibahaskan "