• Russia Ancam Serang Amerika

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    BEIRUT: Russia memberi amaran akan menyerang sumber peluru berpandu Amerika Syarikat yang dibedil terhadap Syria, manakala peluru berpandu yang dibedil akan ditembak jatuh.

    Duta Russia di Lubnan Alexander Zasypkin berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Russia Vladimir Putin dan ketua turus tenteranya.

    Tentera Russia pada 13 Mac lalu menyatakan ia akan bertindak balas terhadap sebarang serangan di Syria, termasuk oleh Amerika Syarikat.

    Amerika dan sekutunya kini menimbang menyerang Syria berikutan dakwaan serangan senjata kimia yang dikatakan didalangi Russia menyebabkan puluhan penduduk terbunuh di Douma, Ghouta, hujung minggu lalu.

    “Jika berlaku serangan oleh Amerika, peluru berpandu akan ditembak jatuh, malah sumbernya akan disasarkan,” kata Zasypkin kepada televisyen Hizbullah, al-Manar.

    Beliau berkata, pertembungan seharusnya dielakkan dan pihaknya bersedia mengadakan rundingan.

    Laporan menyatakan kapal pengangkut pesawat USS Harry Truman sudah bergerak ke Teluk Parsi hari ini, yang mungkin memainkan peranan penting dalam serangan.

    Selain itu, USS Theodore Roosevelt yang berada di Laut China Selatan juga sudah bergerak ke Teluk Parsi.

    Russia dan Amerika saling menyekat cadangan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam, untuk mewujudkan siasatan antarabangsa terhadap serangan senjata kimia itu.

    Menurut kenyataan Rumah Putih, Presiden Donald Trump membatalkan kunjungan ke Amerika Latin hujung minggu ini untuk memberi tumpuan tindak balas terhadap kejadian di Syria itu.

    Sementara itu, pusat kawalan trafik udara seluruh Eropah, Eurocontrol, dalam kenyataannya semalam, memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan supaya berhati-hati terhadap kemungkinan serangan peluru berpandu terhadap Syria dalam tempoh 72 jam.

    Menurut Eurocontrol, peluru berpandu udara ke darat dan misil cruise mungkin digunakan dalam tempoh berkenaan selain kemungkinan ada gangguan terhadap perhubungan radio dan peralatan pandu arah.

    “Berikutan kemungkinan serangan peluru berpandu terhadap Syria dalam tempoh 72 jam serta kemungkinan gangguan radio dan peralatan pandu arah, pertimbangan perlu diambil bagi cadangan penerbangan di Timur Mediterranean/kawasan Nicosia FIR (Cyprus dan sekitarnya),” kata kenyataan Eurocontol.

    Syarikat penerbangan meningkatkan langkah berjaga-jaga untuk penerbangan di kawasan konflik selepas kejadian pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh peluru berpandu di Ukraine pada 2014, membunuh 298 orang.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Russia Ancam Serang Amerika "