• Ronaldo Bantu Real Sekat Kebangkitan Juventus

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    MADRID: Cristiano Ronaldo menyelamatkan Real Madrid ditimpa kejutan tersingkir daripada Liga Juara-Juara selepas sepakan penalti pada masa kecederaan membolehkan juara bertahan itu mengetepikan Juventus dalam suku akhir yang berlangsung penuh dramatik, hari ini, walaupun mereka tewas 1-3.

    Real kelihatannya hampir pasti untuk mara ke peringkat empat terbaik berikutan kemenangan 3-1 dalam timbal balik pertama, minggu lalu, di Turin, tetapi Juve berjaya melakukan kebangkitan sensasi dalam suku akhir kedua di Santiago Bernabeu.

    Dua gol Mario Mandzukic menerusi tandukan pada babak pertama permainan telah menyalakan kembali harapan mereka sebelum Blaise Matuidi memanfaatkan kesilapan yang dilakukan Keylor Navas bagi membantu kelab Itali itu mengikat kedudukan ketika perlawanan berbaki setengah jam untuk tamat.

    Bagaimanapun, sewaktu pertemuan itu hampir pasti diheret sehingga ke masa tambahan, pengadil England, Michael Oliver menghadiahkan sepakan penalti buat Real pada masa kecederaan.

    Ketika perlawanan telahpun memasuki minit ke-97, Ronaldo tidak melakukan kesilapan menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan pasukannya ditimpa kekalahan 1-3, tetapi Real mara ke separuh akhir menerusi agregat 4-3.

    Gianluigi Buffon, yang melakukan 125 penampilan dan mungkin aksi Liga Juara-Juara itu merupakan yang terakhir buatnya sebelum bersara, dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil. - AFP


    Subjects:

  • No Comment to " Ronaldo Bantu Real Sekat Kebangkitan Juventus "