• Ronaldinho Ke JDT?

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 10 April 2018
    A- A+

    Juara Liga Super empat kali, Johor Darul Ta'zim (JDT) dilihat sebagai destinasi terbaik buat Ronaldinho sekiranya bekas pemain terbaik dunia dari Brazil itu benar-benar serius untuk beraksi dalam kancah bola sepak tempatan.

    Jelas bekas pemain tengah Johor, Rizal Sukiman, ini berikutan skuad Harimau Selatan itu memiliki fasiliti berkelas dunia yang sudah pasti mampu menawarkan pengalaman yang sama seperti pernah dirasai Ronaldinho ketika bersama kelab ternama dunia seperti Barcelona, AC Milan dan Paris Saint Germain.

    Malah, pengaruh dimiliki bekas pemain tengah yang terkenal dengan gerakan 'Elastico' itu juga mampu menjadi 'magnet' pemasaran buat JDT sekali gus meningkatkan lagi komersial dan melebarkan nama JDT ke peringkat lebih jauh.

    "Sebagai pemain bintang ternama, sudah tentu Ronaldinho memerlukan kemudahan dan pengurusan berkelas dunia bersesuaian dengan tarafnya selaku legenda bola sepak dunia. Jadi apa yang saya lihat, JDT mampu memenuhi segala kehendak Ronaldinho.

    "Saya rasakan Ronaldinho akan turut teruja kerana dia sendiri tidak menyangka adanya pasukan dari negara ini yang memiliki fasiliti sama hebat seperti pasukan besar di Eropah.

    "Justeru, JDT perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Ronaldinho. Kalaulah Ronaldinho beraksi di Larkin, saya pasti stadium akan penuh dan bukan sahaja penyokong di Malaysia sahaja, penyokong dari luar juga akan turut sama membanjiri stadium untuk menyaksikan kelibatnya di atas padang," katanya ketika dihubungi hari ini.

    Dengan adanya kekosongan dalam slot import JDT selepas Jorge Pereyra Diaz 'melarikan' diri dan pengguguran Luciano Figueroa, mungkinkah kita akan dapat melihat kelibat Ronaldinho mengisi slot import pasukan itu?

    Sebelum ini, pemain tengah yang turut dikenali dengan nama gelaran "Ahli Magik Porto Alegre' itu mengakui berminat untuk beraksi dengan pasukan Liga Malaysia (Liga M) tanpa sebarang bayaran kerana dia gembira dengan keghairahan rakyat Malaysia terhadap bola sepak dan menerimanya dengan baik.

    Bagaimanapun dia yang sudah mengumumkan persaraan pada Januari lalu menyatakan kekangan masa kerana sibuk menguruskan akademi bola sepak dan karier baru sebagai pemuzik mendorongnya melupakan hasrat kembali beraksi.

    Setakat ini, tawaran menarik Ronaldinho yang menyatakan minat untuk beraksi di sini secara percuma membuatkan Perak tidak senang duduk selepas mengakui berminat berminat untuk 'merisik' Ronaldinho biarpun mengakui sudah berpuas hati dengan persembahan pemain import yang ada dalam pasukan The Bos Gaurus.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Ronaldinho Ke JDT? "