• Rohani harap 30 peratus calon BN adalah wanita

    Published: Monday, 16 April 2018
    A- A+

    SEPANG - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap 30 peratus calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah calon wanita.

    Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, setiap pengerusi parti komponen BN juga telah dimaklumkan supaya mempertimbangkan wakil wanita untuk bertanding pada PRU-14.

    "Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah memaklumkan kepada setiap pengerusi parti komponen untuk melihat pertambahan calon wanita," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

    Ditanya mengenai maklum balas daripada parti-parti komponen BN mengenai perkara itu, Rohani menjelaskan kebanyakan daripada mereka memberikan reaksi positif, namun keputusan akhir hanya akan diketahui pada hari penamaan calon PRU-14 nanti.

    "Kali ini, saya dengar ramai (calon wanita), tetapi saya tidak dapat pastikan. Saya fikir mereka (parti komponen BN) akan melakukan yang terbaik kerana ia juga bergantung kepada kesediaan wanita itu sendiri (menjadi calon)," katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Rohani harap 30 peratus calon BN adalah wanita "