• RM130 Juta Untuk Bina Jambatan Rentasi Sungai Rambungan - Wan Junaidi

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Saturday, 21 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Peruntukan berjumlah RM130 juta disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk jambatan baharu merentasi Sungai Rambungan.

    Penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lapan jambatan konkrit juga dibina menggantikan jambatan bailey.

    Malah menurutnya, kerajaan turut menyediakan peruntukan bagi membina jalan raya baharu dari Lundu ke Kuching.

    "Kerajaan BN telah menyediakan peruntukan bagi membina jalan raya baharu dari Lundu ke bandaraya Kuching serta peruntukan membina lapan jambatan konkrit dan membina jambatan baharu di Sungai Rambungan bernilai RM130 juta," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Santubong di sini, hari ini.

    Wan Junaidi yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menjelaskan, semua projek tersebut bakal memberikan faedah kepada rakyat kerana dapat menjimatkan perjalanan dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

    Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, semua barang dijual dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

    Program berkenaan merupakan inisiatif diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bukan sahaja untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi mendorong peniaga menurunkan harga barang keperluan harian.

    Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni.-Sarawakiana
  • No Comment to " RM130 Juta Untuk Bina Jambatan Rentasi Sungai Rambungan - Wan Junaidi "