• Rendang ayam dan Zaleha penyatu rakyat Malaysia

    Reporter: Admin
    Published: Tuesday, 3 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA 3 April - Kritikan juri terhadap hidangan nasi lemak rendang ayam oleh peserta Malaysia dalam rancangan MasterChef UK 2018, Zaleha Kadir Olpin menyatukan rakyat Malaysia apabila pelbagai pihak mempertahankan hidangan tersebut.

    Rata-rata rakyat negara ini menunjukkan sokongan di laman sosial bagi mempertahankan hidangan yang disediakan wanita itu.

    Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang turut memberikan sokongan terbuka kepada wanita itu berkata, dalam suasana panas menuju pilihan raya umum, ramai mudah terlupa tentang titik persamaan yang menyatukan semua rakyat Malaysia.

    “Kita bergaduh dan bertegang urat sehingga lupa budi bahasa. Namun adakalanya, sesuatu perkara yang tidak dijangka muncul dan rakyat Malaysia bersatu hati dalam sesuatu perkara.

    “Kita biasa mendengar bahawa sukan dan makanan mampu menyatukan rakyat Malaysia. Ternyata kata-kata ini terbukti. Zaleha dan rendang ayamnya secara tidak langsung telah menjadi penyatu rakyat Malaysia, tidak kira daripada kerajaan atau pembangkang,” kata Anifah dalam catatan Facebook beliau hari ini.

    Anifah dalam catatannya juga berharap dapat bertemu dengan Zaleha suatu hari nanti.

    “Saya harap dapat bertemu anda suatu hari nanti. Anda telah berjaya menerusi cara yang tidak boleh dilakukan kebanyakan ahli politik, iaitu, menyatupadukan rakyat Malaysia di kala sedang berlakunya perpecahan.”

    Zaleha, 48, yang kini menetap di Bristol menghidangkan nasi lemak ayam rendang dalam pusingan knockout pertandingan MasterChef UK 2018 itu namun mendapat kritikan juri apabila mengatakan rendang ayamnya tidak garing. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Rendang ayam dan Zaleha penyatu rakyat Malaysia "