• Rayuan Anwar Ibrahim Ditolak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya, hari ini untuk mengenepikan keputusan Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara.

    Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan itu.

    Hakim Ahmadi memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit, tidak munasabah dan tidak berasas.

    Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

    Turut bersidang bersama adalah Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Suraya Othman.

    Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

    Manakala Anwar dan ahli keluarganya diwakili peguam N Surendran, Latheefa Koya, Sanjeet Kaur, Shahid Adli Kamaruddin.

    Surendran ketika ditemui berkata pihaknya kecewa dengan keputusan itu dan akan mengemukakan rayuan.

    Pada 18 Mei 2016, Anwar, 70, dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi untuk mencabar sekatan bagi sentuhan fizikal ketika lawatan di penjara.

    Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 14 Mac tahun lalu.

    Selain Anwar, turut dinamakan sebagai plaintif adalah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, serta anaknya Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 33, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.

    Empat cucunya iaitu anak kepada Nurul Izzah dan Nurul Nuha turut dinamakan sebagai plaintif.

    Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bakal dibebaskan Jun ini.

    Semua plaintif memohon perintah mandamus yang mewajibkan semua responden membenarkan sentuhan fizikal antara ahli keluarga sepanjang tempoh dan semua lawatan ke penjara.

    Mereka mengemukakan permohonan itu kerana ketika lawatan ke penjara setiap tiga minggu sekali pertemuan itu dipisahkan dengan dinding kaca dan percakapan hanya melalui penggunaan telefon.

    Pada 2 Mac lalu, Anwar melalui peguamnya memohon kepada semua responden membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan keluarganya ke penjara bagaimanapun ditolak pada 14 Mac lalu.

    Menurut mereka, penafian sentuhan fizikal ketika lawatan penjara adalah tidak munasabah, tidak sah dan melanggar Akta Penjara 1995 dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Rayuan Anwar Ibrahim Ditolak "