• ‘Raya’ Semakin Dekat – PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+

    BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah semakin hampir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

    Beliau berkata akan mengumumkan manifesto Barisan Nasional (BN) pada 7 April dan secara berkias menambah ‘raya’ semakin dekat.

    “… ini ertinya raya sudah dekat dan sudah boleh pasang pelita. Kalau di luar bandar, kita pasang pelita masa hendak raya atau malam tujuh likur,” katanya.

    Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Lawatan Kerja dan Pelancaran Model Baharu Lot Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Kumai di sini, hari ini.

    Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Seri Abu Bakar Harun.

    Pada majlis itu, Najib juga memulakan ucapannya dengan menyebut nama Anggota Parlimen Bera Ismail Sabri dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawahnya iaitu Guai Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Kemayan Datuk Mohd Fadil Osman.

    “Saya sebut nama mereka supaya semua boleh memberi sokongan kepada mereka, jika mereka calon BN sekali lagi. Saya tidak sebut Triang (di bawah DAP) buat masa ini. Mungkin saya akan sebut pada masa akan datang, insya-Allah,” katanya.

    Najib menambah selaku perdana menteri, tidak banyak yang dimintanya daripada masyarakat Bera, melainkan memberi sokongan kepada BN pada pilihan raya akan datang dan merampas semula DUN Triang.

    Spekulasi mengenai tarikh PRU14 semakin hebat diperkatakan dan semalam Pengarah Komunikasi Strategi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata bahawa Dewan Rakyat berkemungkinan dibubarkan pada akhir minggu ini.

    Abdul Rahman berkata Najib dijangka akan berbuat demikian sebelum pelancaran manifesto BN yang difahamkan di Putrajaya, manakala hari terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah pada 5 April ini. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ‘Raya’ Semakin Dekat – PM "