• Rakyat Malaysia antara 320,000 pelancong ke Pulau Hainan, China

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 24 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pelancong Malaysia, Indonesia, Kazakhstan, Korea Selatan dan Rusia menyumbang lebih 90 peratus daripada jumlah pelancong ke Pulau Hainan, China.

    Pada tahun lepas, Hainan menerima hampir 320,000 pelancong dari 26 negara akses tanpa visa, 3.5 kali jumlah yang dicatatkan pada 2016.

    Baru-baru ini, China mengumumkan akses tanpa visa yang lebih luas bagi pelancong dari 59 negara, termasuk Malaysia, ke Hainan mulai 1 Mei ini, dalam usaha untuk menyokong pembaharuan dan pembukaan di wilayah kepulauan paling selatan di negara itu.

    Suruhanjaya Pembangunan Pelancongan Hainan dalam satu kenyataan hari ini, berkata lebih banyak penerbangan terus dirancang ke negara-negara dengan akses tanpa visa berkenaan.

    "Hainan sudah mempunyai 57 penerbangan antarabangsa ke negara-negara termasuk Jerman, Malaysia dan Thailand, dengan rancangan untuk sekurang-kurangnya 16 laluan baharu ke luar negara pada tahun ini. Ia bertujuan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 100 laluan luar negara menjelang 2020, " katanya.

    Pulau Hainan merupakan menjadi sebuah pulau resort tropika yang terkenal bagi pelancong luar negara dalam tahun-tahun kebelakangan ini, dengan jumlah pelancong luar negara melebihi 1.1 juta pada tahun 2017, meningkat hampir 50 peratus tahun ke tahun, katanya.

    Baru-baru ini, Kementerian Keselamatan Awam China dan Pentadbiran Imigresen Negara pulau itu mengumumkan 59 negara itu akan menikmati akses tanpa visa selama 30 hari ke Pulau Hainan mulai 1 Mei ini.

    Akses tanpa visa yang dipermudahkan ke Hainan itu merupakan sebahagian daripada usaha China membina wilayah itu untuk menjadi "sebuah pelabuhan perdagangan bebas dengan ciri-ciri China," katanya.

    "Dengan memperluaskan dasar itu kepada orang perseorangan dan menginap sehingga 30 hari, kerajaan berhasrat untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, menggiatkan industri pelancongan dan memenuhi keperluan individu asing," kata naib ketua pentadbiran pulau itu Qu Yunhai.

    Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pembangunan Pelancongan Hainan Sun Ying berkata: "Dasar itu akan menyuntik semangat ke dalam Hainan dan membawa kami lebih dekat kepada matlamat kami untuk menjadi sebuah destinasi bertaraf dunia".- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Rakyat Malaysia antara 320,000 pelancong ke Pulau Hainan, China "