• Puad Zarkashi letak jawatan KP Jasa

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 25 April 2018
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Datuk Mohd Puad Zarkashi pada Rabu mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan sekaligus menjawab spekulasi yang bermain di media sosial beberapa hari ini setelah namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Johor dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, beliau berkata pada Rabu merupakan hari terakhirnya di jabatan itu dan beliau tidak berganjak dari keputusannya untuk meletak jawatan.

    “Memang, ramai juga yang akan mengutuk saya. Saya tetap tabah. Berakhirlah riwayat saya di Jasa. Tempat panas sehinggakan DAP membawa usul ke Parlimen di sidang Parlimen terakhir awal tahun ini supaya Jasa dibubarkan. Sebelum ini dalam bajet PH mereka mencadangkan supaya Jasa ditutup sahaja.

    “Kalau mahu disebut satu persatu memang banyak yang telah dilakukan sehingga Jasa semakin dikenali termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga di kalangan pelajar Malaysia di luar negara,” kata beliau dalam kenyataan itu.

    Beliau yang dilantik ke jawatan itu pada Mac 2015 itu, turut berterima kasih kepada seluruh warga Jasa kerana membantu dalam memimpin jabatan itu.

    Mohd Puad, yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu, bagaimanapun tidak menjelaskan kedudukannya dalam parti setakat ini.

    Dua hari lepas (Isnin), Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Ketua Wanita Umno Bahagian Batu Pahat, Haliza Abdullah akan menggantikan Mohd Puad untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan sebagai berkata keputusan tidak meletakkan Mohd Puad sebagai calon BN di Batu Pahat pada PRU14 dibuat berdasarkan hasil penilaian landskap politik negara termasuk di kerusi Parlimen itu.

    Mohd Puad, yang bertanding kerusi itu pada PRU lepas, tewas dengan calon PKR Datuk Mohd Idris Jausi dengan majoriti 1,732 undi.

    Sejak lewat malam Ahad lepas, sebuah mesej yang dipercayai dari Mohd Puad tersebar menerusi aplikasi whatsapp yang menyatakan hasratnya melepaskan jawatan di JASA dan bertanding sebagai calon bebas selepas tidak dicalonkan BN pada PRU14. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Puad Zarkashi letak jawatan KP Jasa "