• PRU14 : Proses Penamaan Calon Ditutup

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Saturday, 28 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini yang berakhir pada 10 pagi di seluruh negara menyaksikan figura utama dan penting dalam arena politik tanah air selesai menyerahkan borang pencalonan mereka.

    Barisan Nasional (BN) menyaksikan pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak cuba mempertahankan kubunya di Parlimen Pekan yang dipegang sejak 1976 manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyerahkan kertas pencalonan bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang sejak 1995.

    Pemimpin komponen BN turut mengintai peluang mengekalkan kerusi masing-masing – Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai di Parlimen Bentong, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam di Parlimen Segamat dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong di Parlimen Teluk Intan.

    Pemimpin BN di Sabah dan Sarawak turut ingin meneruskan perjuangan dalam mempertahankan ‘gawang’ masing-masing dengan Arthur Joseph Kurup menggantikan bapanya, Tan Sri Joseph Kurup yang merupakan Presiden PBRS di kerusi Parlimen Pensiangan.

    Sementara itu Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau di kerusi Parlimen Tuaran, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen Bintulu.

    Pemimpin parti pembangkang seperti Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan kertas pencalonan untuk Parlimen Langkawi, Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, manakala naib presidennya Nurul Izzah Anwar di Parlimen Permatang Pauh.

    Penasihat DAP Lim Kit Siang turut cuba mengekalkan kerusi Parlimen Iskandar Puteri (dahulu dikenali Gelang Patah) yang disandangnya, selain Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh, manakala Presiden Amanah Mohamad Sabu mencuba nasib di Parlimen Kota Raja.

    Kem PAS juga tidak kurang menarik apabila presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mahu mengekalkan kedudukannya di kerusi Parlimen Marang manakala Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin ingin​​​​​​​ bertanding mewakili parti itu di Parlimen Arau.

    Turut mencuri perhatian adalah kemunculan selebriti Azwan Ali di DUN Bukit Antarabangsa untuk berdepan abangnya sendiri, Mohamed Azmin.

    Naib Presiden PPBM yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyerahkan kertas pencalonan bagi kerusi DUN Kota Lama di Kelantan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14 : Proses Penamaan Calon Ditutup "