• PRU14: Penglibatan Masyarakat Dalam Bidang Ekonomi Jadi Tumpuan Wan Junaidi

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Tuesday, 24 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Meningkatkan penglibatan masyarakat dalam bidang ekonomi akan menjadi agenda yang akan diperjuangkan penyandang kerusi Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Beliau yang dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Santubong berkata, sebuah jawatankuasa khas yang diketuai pakar akan ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi mencari kaedah terbaik membantu penduduk Santubong terlibat secara aktif bidang ekonomi.

    Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan masyarakat tidak tersisih dalam bidang ekonomi terutama selepas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi penekanan khusus kepada ekonomi digital.

    "Kita mahu masyarakat memanfaatkan ekonomi digital dalam menjana pendapatan dan terlibat secara langsung," katanya ketika diminta mengulas mengenai perancangan lima tahun bagi Parlimen Santubong.

    Selain itu Wan Junaidi turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Abang Johari kerana memberi kepercayaan kepada beliau bertanding.

    "Saya akan memberi perkhidmatan terbaik," ujarnya.

    Mengulas mengenai lawan yang bakal ditentang dari Parti Amanah Negara (PAN), beliau berkata, tidak menjadi masalah untuk mana-mana pihak bertanding kerana Malaysia merupakan negara demokrasi.

    "Saya tidak bimbang kerana orang kampung tahu sumbangan saya. PAN datang lima tahun sekali dan membawa budaya politik menghasut," jelasnya.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Wan Junaidi menang dengan majoriti 20,936 undi mengalahkan Affendi Jeman (Bebas), Zulrusdi Mohamad Hol (PKR) dan Mura Kadir (STAR).-Sarawakiana

  • No Comment to " PRU14: Penglibatan Masyarakat Dalam Bidang Ekonomi Jadi Tumpuan Wan Junaidi "