• PRU14: Hanya BN Hantar Nama Calon Disaring – SPRM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 9 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA – Hanya Barisan Nasional (BN) yang menghantar senarai nama calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disaring setakat ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah calon yang telah disaring dan menjangkakan lebih banyak nama akan dihantar menjelang hari penamaan calon PRU14 kelak.

    “Yang mana kita terima kita akan saring dan kembalikan keputusan itu kepada parti politik yang menghantar.

    “Saya percaya dari semasa ke semasa akan ada lagi nama-nama yang dihantar dan kita akan buat saringan terbabit secepat mungkin,” katanya pada sidang media bersempena pelancaran bilik gerakan SPRM untuk PRU14 di ibu pejabat suruhanjaya itu, di sini hari ini.

    Turut serta dalam sidang media itu ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

    Ditanya sama ada pihaknya membuat cadangan kepada parti politik sama ada nama calon yang dihantar layak atau tidak untuk bertanding, Dzulkifli berkata perkara itu tidak tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM.

    Sebaliknya suruhanjaya itu hanya menyerahkan keputusan saringan nama calon kepada parti dan keputusan hanya akan dibuat oleh parti terbabit, katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: Hanya BN Hantar Nama Calon Disaring – SPRM "