• #PRU14 : Geografi Parlimen Batang Lupar Dikelilingi Sungai Bukan Penghalang Pembangunan

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+
    PARLIMEN Batang Lupar mempunyai keluasan sebesar 2,024km persegi yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sebuyau, DUN Lingga dan DUN Beting Maro.

    Sektor pekerjaan utama di DUN Sebuyau dan Lingga adalah bidang pertanian dimana DUN Sebuyau terkenal sebagai kawasan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran, sementara DUN Lingga pula merupakan kawasan penanaman padi.

    Sektor pekerjaan utama di DUN Beting Maro pula adalah nelayan namun mereka bukanlah sebarang nelayan kerana nelayan di Beladin (DUN Beting Maro) merupakan antara nelayan pesisir pantai yang paling berjaya di Malaysia.

    Batang Lupar adalah juga merupakan HUB produk pertanian, bersesuaian dengan struktur tanah gambutnya, projek penanaman Nenas di Sebuyau dan Projek Kelapa Sawit di Beting Maro telah dijalankan dengan jayanya.

    Terkenal dengan Sungai Batang Lupar yang dikatakan menjadi lubuk buaya lagenda Bujang Senang suatu ketika dulu, sungai sepanjang 275 km tersebut yang mempunyai pembukaan besar di bahagian muara dan sempit di hulu sungai merentasi Banjaran Klinkang hingga ke Laut China Selatan.

    Walaupun keadaan geografi Parlimen Batang Lupar dikelilingi oleh sungai, ianya tidak menjadi penghalang bagi Kerajaan melaksanakan pelbagai projek di kawasan tersebut.

    Antaranya adalah pembinaan Balairaya Baru Kampung Sungai Nibong (Sebuyau), pembinaan Jalan Ban Baru ke Perkuburan Kampung Sungai Ladong (Sebuyau), naik taraf jalan berhadapan Rumah Nyuin Gerunjong, Tawang Tengah, Tanjung Bijat (Lingga), naik taraf Jalan Fasa 2 Rumah Anthony Seduku Ulu Lingga, pembinaan jambatan baru di Menek Sebangan (Sebuyau) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2017 - naik taraf menara Masjid Rahmaniah (Pusa).

    Dalam masa yang sama, peruntukan khas Ahli Parlimen Batang Lupar (MRP) 2017 juga telah diperuntukkan sebagai geran sebahagian dari kos penyambungan meter elektrik Rumah Nyuin, Tawang Tengah, Tanjung Bijat (Sri Aman).

    Difahamkan, pelbagai projek dalam perancangan yang akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat dan antaranya adalah Projek Hakisan Pantai, Sebuyau New Township, Jambatan Batang Lupar, Klinik Kesihatan Sebuyau dan Beting Maro, Jelapang Padi (Lingga), Jalan Ban/Pesisir dan Masjid Pekan Sebuyau.

    Untuk rekod, penyandang kerusi Parlimen Batang Lupar adalah Datuk Seri Hajah Rohani Abdul Karim (PBB/BN) dimana pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, beliau memperolehi majoriti besar sebanyak 10,964 undi setelah meraih 15,625 undi mengalahkan pencabarnya Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR) yang hanya mendapat 4,661 undi.

    Subjects:

  • No Comment to " #PRU14 : Geografi Parlimen Batang Lupar Dikelilingi Sungai Bukan Penghalang Pembangunan "