• PRU14: Daftar Pemilih Boleh Disemak Mulai Isnin - SPR

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Semakan daftar pemilih pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan bermula Isnin depan (16 April), kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    SPR dalam satu kenyataan berkata semua pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat lengkap daftar pemilih mereka yang terkini untuk mengetahui tempat mengundi di bahagian pilihan raya masing-masing.

    Semakan daftar pemilih PRU14 boleh dibuat melalui pelbagai kaedah antaranya menggunakan aplikasi mudah alih MySPR Semak yang boleh dimuat turun daripada Google Play atau Apple App Store secara percuma, katanya.

    SPR berkata berikutan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang telah dikuatkuasakan, pemilih berdaftar dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat daftar pemilih mereka lebih awal agar memudahkan perancangan pada hari pengundian.

    "Sekiranya semakan telah dibuat dan pemilih telah mengetahui maklumat pusat mengundi serta tempat mengundi (saluran), maka pada hari mengundi mereka tidak perlu membuat semakan lagi di kaunter SPR (barung semakan) di pusat mengundi," katanya.

    Aplikasi MySPR semak juga menyediakan kemudahan untuk mengetahui nama calon yang bertanding di sesuatu bahagian pilihan raya dan mendapatkan keputusan pilihan raya yang dipertandingkan, kata SPR.

    Tambah SPR, pemilih berdaftar boleh membuat semakan melalui pautan https:// pengundi.spr.gov.my serta menelefon ke talian hotline 03-88927018 atau mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri.

    Daftar pemilih PRU14 juga boleh disemak melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu dengan menaip SPR nombor kad pengenalan dan hantarkan ke 15888.

    SPR menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PRU14: Daftar Pemilih Boleh Disemak Mulai Isnin - SPR "