• PRU 14: Komposisi Dewan Rakyat semasa pembubaran

    Published: Friday, 6 April 2018
    A- A+
    Perkembangan landskap politik negara susulan tindakan anggota keluar parti, pembentukan parti politik baharu dan pilihan raya kecil membawa perubahan terhadap komposisi Dewan Rakyat berbanding selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

    Dalam PRU13, BN menang 133 kerusi Parlimen, DAP (38), PKR (30) dan PAS (21).

    Semasa Parlimen dibubarkan esok, keanggotaan Dewan Rakyat terdiri daripada 132 wakil BN, DAP (36), PKR (28), PAS (13), Parti Amanah Negara (AMANAH) (7), Parti Warisan Sabah (WARISAN) (2), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masing-masing satu serta Bebas (2).

    Perubahan kerusi BN berlaku apabila calon BN Datuk Seri Mah Siew Keong daripada Gerakan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Telok Intan yang sebelum itu disandang DAP.

    Ini diikuti tindakan pemecatan Anggota Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Umno dan Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar Umno.

    Ekoran perubahan itu, jumlah kerusi BN berubah kepada 132.

    Perubahan ini membawa kepada penubuhan BERSATU yang diwakili Muhyiddin.

    Semalam (5 April), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengeluarkan perintah pembubaran sementara PPBM dan memberi tempoh 30 hari untuk parti itu melengkapkan butiran yang diperlukan atau berdepan pembubaran.

    Shafie pula membentuk WARISAN, yang turut dianggotai Anggota Parlimen Penampang Ignatius Dorell Leiking daripada PKR yang keluar parti.

    Perpecahan berlaku dalam kalangan pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat dianggotai DAP, PKR dan PAS menyebabkan ia terkubur pada Jun 2015.

    Pergolakan dalam PAS, yang mempunyai 21 kerusi, menyebabkan enam anggotanya keluar parti lalu membentuk parti serpihan, AMANAH.

    Mereka ialah Anggota Parlimen Kuala Krai (Mohd Hatta Md Ramli); Kuala Terengganu (Datuk Raja Kamarul Bahrain Shah Raja Ahmad); Parit Buntar (Datuk Mujahid Yusof Rawa); Shah Alam (Khalid Abdul Samad); Kota Raja (Dr Siti Mariah Mahmud) dan Sepang (Mohamed Hanipa Maidin).

    Dua lagi anggota PAS iaitu Datuk Kamarudin Jaffar keluar parti menyertai PKR manakala Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar keluar parti untuk menjadi anggota Bebas dan kemudian menyertai AMANAH.

    Ini menjadikan PAS menguasai 13 kerusi manakala Amanah tujuh kerusi.

    Perubahan kerusi Parlimen PKR daripada 30 kepada 28 berikutan anggota Parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar Devaraj yang bertanding atas tiket PKR pada PRU13 memutuskan untuk dikenali sebagai wakil rakyat PSM.

    Perubahan itu juga susulan pemecatan Anggota Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR yang kemudian mengisytiharkan dirinya anggota Bebas dan tindakan Leiking keluar parti tetapi ditambah penyertaan Kamarudin dalam parti itu.

    Bagi DAP, kehilangan kerusi Parlimen Teluk Intan dan tindakan anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him keluar parti dan mengisytiharkan dirinya sebagai anggota Bebas menyebabkan DAP kehilangan dua kerusi, menjadikan parti itu memiliki 36 kerusi.

    Dua Anggota Parlimen Bebas adalah Khalid dan Sim. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " PRU 14: Komposisi Dewan Rakyat semasa pembubaran "