• Polis Sarawak Terus Memerangi Judi Haram, 58 Individu Diberkas

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 23 April 2018
    A- A+

    KUCHING: Operasi membanteras kegiatan perjudian haram terus diperhebatkan di Sarawak apabila seramai 58 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti itu diberkas sepanjang minggu lalu.

    Kesemua individu berusia antara 17 hingga 58 tahun tersebut ditahan menerusi 30 serbuan berasingan yang dilakukan mulai 16 hingga 22 April lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, serbuan yang dilakukan itu melibatkan 27 premis menjual loteri tidak berlesen, gelanggang sabung ayam (dua) dan pusat judi siber (satu).

    Menurutnya, menerusi serbuan di premis-premis menjual loteri haram, polis berjaya menahan 29 individu dan merampas wang tunai berjumlah RM7,820 serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan jenayah itu.

    "Serbuan dua gelanggang sabung ayam di Padawan dan Miri pula berjaya menangkap 28 individu selain tiga ekor ayam sabung yang masih hidup, manakala dua ekor lagi sudah mati.

    "Kesemua individu termasuk seorang warga Filipina yang dicekup itu terdiri daripada 41 lelaki, manakala selebihnya wanita," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. - K! ONLINE
  • No Comment to " Polis Sarawak Terus Memerangi Judi Haram, 58 Individu Diberkas "