• Polis ambil keterangan pemilik kereta Proton Saga

    Reporter: Admin
    Published: Friday, 27 April 2018
    A- A+

    SHAH ALAM - Polis mengesahkan telah mengambil keterangan pemilik kereta jenis Proton Saga yang dipercayai digunakan oleh suspek pembunuhan pensyarah Palestin, Dr. Fadi M. R. Albatsh Fatma yang ditinggalkan di Taman Tasik Ampang Hilir, Ampang semalam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemilik kereta berkenaan kerana masih dalam siasatan pihaknya.

    "Ya, kami sudah ambil keterangan dia (pemilik) dan siasatan kita sedang berjalan.

    "Kita juga telah mengenal pasti identiti penyewa kereta berkenaan, namun saya tidak boleh dedahkan kerana semuanya masih dalam siasatan pihak kita," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri aktiviti keagamaan Buddha sempena Peringatan Hari Polis ke-211 di Seksyen U12, di sini sebentar tadi.

    Kosmo! hari ini melaporkan polis telah menemui satu lagi petunjuk baharu berhubung kes pembunuhan kejam Fadi apabila sebuah kereta yang dipercayai dinaiki dua penembak mangsa untuk melarikan diri selepas pembunuhan tersebut ditemui di Taman Tasik Ampang Hilir di sini semalam.

    Kereta jenis Proton Saga BLM itu ditemui pada pukul 2 pagi hasil siasatan dan maklumat orang awam sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi bagi melakukan siasatan.

    Satu sumber berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek menaiki kereta tersebut untuk melarikan diri selepas meninggalkan motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys di tepi Tasik Danau Kota, Setapak.

    Kereta itu ditemui kira-kira 13 Kilometer dari lokasi penemuan motosikal Kawasaki Versys. Sabtu lalu, Dr. Fadi ditemukan mati akibat ditembak berkali-kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak Kuala Lumpur.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala hasil bedah di Hospital Selayang mendapati, sebanyak 14 butir peluru ditemukan pada badan dan kepala mangsa. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Polis ambil keterangan pemilik kereta Proton Saga "