• PM Umum Henti Sementara Wang Tahanan Peneroka

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+

    TEMERLOH: Berita baik buat semua warga Felda di seluruh negara apabila kerajaan mengumumkan pemberhentian sementara wang tahanan peneroka sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

    Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Peneroka Felda Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka di Padang Awam Felda Jengka 11, Kuala Krau di sini hari ini.

    Najib berkata, beliau mengumumkan sedemikian kerana memahami keluh-kesah dan denyut nadi rakyat khususnya melibatkan ekonomi serta pendapatan peneroka.

    “Wang tahanan itu boleh dicairkan sehingga Hari Raya Aidilfitri akan datang bagi tujuan meningkatkan keyakinan warga Felda.

    “Selain itu, bagi warga Parlimen Kuala Krau, sebanyak 666 lot Rumah Mesra Rakyat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)-Felda akan dibina dengan harga sebanyak RM35,000 seunit selepas diberi diskaun dan subsidi,” katanya ketika berucap di depan lebih 8,000 warga Felda.

    Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

    Menurut Najib, bagi projek menaik taraf kemudahan prasarana dan infrastruktur pula, sebanyak RM10 juta diberi-kan untuk menaik taraf Hospital Jengka di sini.

    “Projek menaik taraf Jalan Persekutuan juga diteruskan bagi fasa kedua dari Bandar Pusat Jengka ke Felda Jengka 8, dari simpang Jengka 18 ke simpang Jengka 21 dan dari simpang Jengka 12 ke Jambatan Kuala Krau,” katanya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " PM Umum Henti Sementara Wang Tahanan Peneroka "