• PM Tak Lupa Masyarakat Luar Bandar

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Sunday, 15 April 2018
    A- A+

    SEREMBAN – Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar dilayan dengan adil terutamanya dalam soal pembangunan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN) selama ini.

    Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perancangan pembangunan metropolis bertaraf dunia, Lembah Wawasan Malaysia (MVV) akan membolehkan kerajaan negeri menyalurkan semula hasil pendapatan kepada kawasan luar bandar.

    “Negeri Sembilan negeri kecil dan kita sekarang dah ada rizab melebihi RM500 juta…cukup kerana kos operasi kita sangat rendah…saya tak pernah bawa trip dari luar negara ke apa tetapi mencurah-curah orang melabur di Negeri Sembilan.

    “Lebih RM500 juta kita akan terus sumbang kepada perbelanjaan pembangunan. Macam tahun lepas saya dapat bentangkan lebihan bajet RM117 juta dan semuanya kita salurkan terus yang mana kita bagi dan pulangkan semula kepada rakyat untuk kita pastikan kita dapat buat dasar pemulihan bandar dan bermacam-macam lagi,” katanya.

    Mohamad berkata dengan lebihan yang diperoleh kerajaan, sebuah pengangkutan rentas desa akan diwujudkan bagi menghubungkan semua kampung-kampung kecil di negeri ini.

    “Sekarang kita di bandar ada (bas) City Liner, dan kawasan luar bandar kita akan buat dengan Mara (Majlis Amanah Rakyat). Kita akan memberi subsidi kepada bandar kerana sistem pengangkutan awam luar bandar ni memang takkan untung…jadi kita akan subsidi dalam masa lima tahun.

    “Dalam masa lima tahun Mara akan pulangkan kepada kerajaan negeri dan kita telah pun beritahu setiap daerah supaya ditubuhkan koperasi-koperasi kerjasama di mukim-mukim di daerah…nanti ambil alih aset ini secara percuma dan kendalikan pengangkutan awam anda sendiri…jadi takkan ada isu lagi,” katanya.

    Selain itu, beliau berkata hanya di bawah kerajaan BN, Dasar Perluasan Kampung diperkenalkan dengan tanah-tanah kerajaan dipecah lot dan diwujudkan sebuah perkampungan dengan infrastruktur yang canggih, moden dan terbaik.

    Ini, menurut Mohamad bagi mengelakkan golongan muda di kampung berhijrah ke bandar, sekali gus akan menyebabkan berlakunya harga rumah dan sewa melambung.

    “Di Jelebu banyak yang kita akan buat. Kita dah buat dah satu melalui Dasar Perluasan Kampung di Simpang Durian dan ada lebih kurang 200 peserta. Kita dah bekerjasama dengan SPNB (Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad) dan mereka akan buatkan rumah…ini yang kita buat,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata dalam tempoh BN memerintah, Jelebu misalnya, satu daripada kawasan luar bandar di negeri ini, mengalami perubahan ketara terutama dari segi pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang ditambah baik.

    “Setiap tahun, setiap Parlimen diperuntukkan sekurang-kurangnya RM7 juta dan itu tidak termasuk dengan peruntukan tambahan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin setempat.

    “Ketika di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, peruntukan kepada Jelebu terlalu sedikit, lebih kurang RM500,000 setahun kerana peruntukan lebih tertumpu kepada kawasan bandar, maka masyarakat di luar bandar ketika itu mendapat sangat sedikit manfaat daripada kerajaan untuk kesejahteraan mereka,” katanya kepada Bernama di sini.

    Jalaluddin yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keadaan itu berubah selepas Najib memegang tampuk kerajaan.

    “Kerana itu sekarang ini kawasan luar bandar, terutama kemudahan infrastruktur dan yang berkaitan dengan kesejahteraan penduduk hampir selesai dan tidak lagi menjadi rungutan daripada orang ramai,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PM Tak Lupa Masyarakat Luar Bandar "