• PI1M Bawa Manfaat Besar Kepada Penduduk Song

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+


    SONG – Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) bukan sekadar tempat menyediakan kemudahan internet kepada masyarakat khasnya mereka yang kurang berkemampuan untuk melayari laman sosial semata-mata.

    Malah program yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) secara kolektif di seluruh negara itu telah berkembang peranannya menjadi sebuah pusat yang menyediakan latihan bagi meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di negara ini.

    Peranan itu cukup besar dan sangat bermanfaat lebih-lebih lagi apabila ia terletak di pekan kecil di luar bandar Sarawak seperti daerah Song di kawasan Parlimen Kapit.

    PI1M Song di kubu lama tinggalan era Raja Brooke yang menghadap Sungai Rajang dan di tepi muara Sungai Katibas pada mulanya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti Song dan mula beroperasi pada 14 Okt 2009.

    Sejak itu, pusat tersebut mempunyai 2,185 anggota berdaftar yang boleh menggunakan kemudahan internet di situ pada kadar RM1 sejam berbanding RM2 sejam bagi bukan anggota.

    Pengurus PI1M Song, Daisy Unggang berkata pusat tersebut turut mengadakan pelbagai program untuk membina masyarakat setempat yang lebih celik teknologi maklumat sejajar dengan wawasan negara bagi mewujudkan masyarakat Malaysia bermaklumat menjelang 2020.

    “Program yang kita adakan untuk masyarakat di Song ialah Intel Learn Program (ILP), Program Klik Dengan Bijak (KDB), Latihan Keusahawanan, ICT Cambridge, Intel Learn Easy Steps (ILES) dan terbaharu Dashboard Komuniti,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata melaluinya, masyarakat di daerah itu mulai meneroka perkara yang sebelum ini asing buat mereka seperti laman sosial Facebook dan e-dagang.

    “Sebelum ini ketua-ketua kaum dan masyarakat berasa takut dengan ICT, namun selepas beberapa siri pendedahan mereka kini lebih yakin untuk menggunakannya,” katanya.

    Beliau berkata mereka kini boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan semasa dunia luar termasuk mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk membantu meningkatkan kehidupan mereka.

    Daisy berkata Program Klik Dengan Bijak di PI1M Song dapat melatih masyarakat di daerah itu menggunakan teknologi maklumat dengan baik dan betul, di samping membezakan antara maklumat yang benar ataupun palsu.

    Golongan usahawan kecil turut dilatih menggunakan internet bagi memperkenalkan dan melariskan produk mereka.

    “Dengan adanya ilmu yang diperoleh, mereka boleh pergi jauh pada masa akan datang lebih-lebih lagi dengan usaha kerajaan negeri untuk memajukan ekonomi digital,” katanya.

    Perusahaan kecil yang banyak dilakukan masyarakat di Song ialah pembuatan kraf manik.

    PI1M Song tidak hanya mengehadkan fungsinya sebagai pusat mendapatkan ilmu pengetahuan sahaja buat golongan muda, malah Daisy berkata pihaknya turut mengambil kesempatan memperkenalkan industri kreatif kepada mereka.

    “Ini kita lakukan dengan mengadakan pendedahan golongan muda ini kepada pembuatan video pendek. Aktiviti ini dapat menarik minat dan mendapat sambutan yang amat baik daripada mereka,” katanya. – BERNAMA
  • No Comment to " PI1M Bawa Manfaat Besar Kepada Penduduk Song "