• Petronas diminta mohon lesen bangun lapangan minyak dan gas di Sarawak - Abang Johari

    Published: Saturday, 14 April 2018
    A- A+

    Kerajaan negeri Sarawak telah memaklumkan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) supaya mendapatkan lesen jika mahu membangunkan lapangan minyak dan gas di negeri ini.

    Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata syarikat terbabit atau mana-mana pihak perlu mematuhi syarat itu seperti yang termaktud dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 dan peraturan tersebut dikenakan ke atas semua syarikat minyak dan gas yang mahu beroperasi di negeri ini.

    "Mereka (Petronas Cari Gali Sdn Bhd, Sarawak Shell Bhd dan Sapura Exploration dan Production -Sarawak) mempunyai kontrak (perniagaan) antara mereka sebelum kita mengetahui kita ada hak ke atas pengeluaran minyak dan gas dalam Sarawak seperti termaktud dalam Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak," katanya selepas menyaksikan maljis menandatangani perjanjian pengambilalihan 15 peratus ekuiti Shell Gas Holdings (Malaysia) Limited dalam Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga), di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Sapura Energy Bhd, mengatakan anak syarikatnya Sapura Exploration dan Production bersama Petronas Cari Gali dan Sarawak Shell akan membangunkan blok SK408, Gorek, Larak dan Bakong yang terletak di luar pantai Sarawak.

    Sapura Energy berkata ia telah mengambil keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunkan Fasa 1 Kontrak Perkongsian Pengeluaran SK408 susulan kelulusan pelan pembangunan lapangan daripada Petronas dan permeteraian perjanjian terma utama jualan gas.

    Sehubungan itu, Abang Johari berkata Petronas telah dimaklumkan menerusi surat rasmi agar mendapatkan lesen daripada kerajaan negeri untuk beroperasi secara sah.

    Beliau berkata pematuhan ordinan itu penting kerana kerajaan negeri perlu mengawal selia industri minyak dan gas negeri.

    --BERNAMA
  • No Comment to " Petronas diminta mohon lesen bangun lapangan minyak dan gas di Sarawak - Abang Johari "