• Pengurusan Ekonomi Negara Cemerlang Di Bawah BN - Najib

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 22 April 2018
    A- A+

    ALOR SETAR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata pengurusan ekonomi yang baik dan cemerlang di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) membolehkan rakyat mendapat manfaat secara langsung.

    Perdana menteri berkata perkara itu antara lain disumbang oleh kesepakatan dan muafakat di antara pemimpin BN dalam mengurus dan mentadbir negara selama ini.

    Katanya, ia dibuktikan apabila pada Khamis lalu, penanda aras pasaran tempatan, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysa (FBM KLCI) direkod mencecah paras tertinggi dalam sejarah ekonomi negara.

    "Siapa kata rakyat tak untung, bukan semua main saham secara langsung, tapi kita juga pelabur Amanah Saham Nasional (ASN) bukan, setiap kita ada buku simpanan ASN, ada juga menabung untuk anak-anak, iaitu Amanah Saham Didik.

    Kalau saham naik, Permodalan Nasional Berhad (PNB) untung, PNB bagi balik pada rakyat dalam bentuk dividen dan bonus, ada juga yang menyimpan sebagai pelabur atau penyimpan dalam Kumpulan Wang SImpanan Pekerja (KWSP), kalau saham naik, KWSP boleh isytihar dividen seperti mana dividen tertinggi diumum baru-baru ini," katanya.

    Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat sempena majlis pecah tanah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Padang Tembak dekat sini.

    Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian dan Luar Bandar Parlimen Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastam.

    Perdana menteri berkata sebaliknya, rakyat akan mengalami kerugian sekiranya negara ditadbir pakatan pembangkang, yang kini jelas sedang mengalami pertembungan ideologi sesama mereka.

    "Kepincangan dalam pembangkang bukanlah suatu perkara kecil, pertembungan idelogi akan membawa kepada pertembungan dan percanggahan dasar yang amat serius kerana ia akan mengakibatkan rakyat rugi," katanya.

    Najib turut mengingatkan rakyat agar sentiasa memilih parti yang boleh dijadikan tempat bergantung bagi menjulang negara di puncak kecemerlangan dan sekali gus memastikan rakyat tidak terlepas daripada arus pembangunan.

    "Sebagai rakyat dan pengundi, apalah yang dihasratkan oleh kita, sudah tentu kalau kita tanya pada diri kita sebagai pengundi dan rakyat Malaysia, kita mahukan supaya keadaan hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok serta hari mendatang jauh lebih baik daripada hari ini.

    "Kalau kita tanya pada diri kita, tepuk dada kita dan tanya pada diri kita, siapakah di antara dua pihak ini, atau tiga pihak, atau mungkin empat pihak boleh jamin esok lebih baik daripada hari ini, siapa? Melainkan kerajaan pimpinan BN kita," katanya.

    Najib juga menyeru jentera dan pimpinan BN Kedah agar menawan kembali kerusi Parlimen Pokok Sena serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang serta Derga pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini.

    Projek PPA1M tersebut yang meliputi tiga fasa pembangunan menawarkan, 859 unit rumah teres dan apartmen serta turut akan dilengkapi dengan dewan serbaguna dan bangunan komuniti.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengurusan Ekonomi Negara Cemerlang Di Bawah BN - Najib "