• Pengawal keselamatan ditahan muat naik status hina Islam di Facebook

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 25 April 2018
    A- A+
    KUCHING 24 April - Seorang pengawal keselamatan ditahan di perkarangan Balai Polis Kota Sentosa, Padawan di sini, berhubung status menghina agama Islam dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, Girik Joket pada pukul 6.45 petang semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk S. Dev Kumar berkata, tangkapan tersebut dibuat setelah seorang penjawat awam berusia 42 tahun membuat laporan di Balai Polis Batu Kawa di sini pada pukul 8.45 pagi semalam, terhadap status berkenaan.


    Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 50 tahun turut membuat satu laporan di Balai Polis Gita pada pukul 9.15 kelmarin, yang mengaku memuat naik status ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

    “Pengawal keselamatan terbabit membuat laporan itu selepas mendakwa diugut dan dikecam oleh pihak tertentu yang berang dengan status terbabit yang sudah menjadi tular,” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.

    Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut seksyen 298 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, untuk permohonan reman pagi ini.

    “Polis menasihatkan netizen supaya tidak menulis status atau komen dalam media sosial berunsur perkauman atau menghina mana-mana agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni dan permusuhan.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang berbuat demikian,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

  • No Comment to " Pengawal keselamatan ditahan muat naik status hina Islam di Facebook "