• Penetapan Tarikh PRU-14: SPR Ambil Kira Pelbagai Faktor

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penetapan hari Rabu (9 Mei) sebagai hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diputuskan selepas perundingan melibatkan tujuh anggota suruhanjaya itu berdasarkan keperluan yang difikirkan terbaik.

    Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azizan Md Arshad menjelaskan, kesemua anggota suruhanjaya yang diketuai Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah membuat keputusan itu selepas mengambil kira dan mempertimbangkan pelbagai faktor.

    "Kita kena faham, SPR adalah badan yang ditubuhkan melalui kuat kuasa Perlembagaan Persekutuan. Ahli-ahli yang dilantik, (iaitu) pengerusi, timbalan pengerusi dan lima ahli panel adalah dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    "Mereka ini bekerja, bertindak dan memutuskan adalah berdasarkan kepada keperluan yang difikirkan terbaik. Jadi pemutusan itu harus dibuat SPR. Jadi proses itu adalah proses yang dirunding oleh ahli panel," katanya ketika ditemu bual pengacara, Fadzli Aziz dan Ola Nordin dalam program Assalamualaikum yang disiarkan di saluran TV Al-Hijrah hari ini.

    Selain Mohd Hashim, anggota SPR terdiri daripada Timbalan Pengerusi Tan Sri Othman Mahmood, Datuk Md Yusop Mansor; Datuk Abdul Aziz Khalidin; Sulaiman Narawi; Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Penetapan Tarikh PRU-14: SPR Ambil Kira Pelbagai Faktor "