• Penduduk Kampung Pueh, Siru Dayak Tarik Nafas Lega, Terima Warta Rizab Komunal

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 30 April 2018
    A- A+

    SEMATAN: Penduduk Kampung Pueh dan Kampung Siru Dayak kini boleh menarik nafas lega selepas menerima warta rizab komunal Bumiputera (Pertanian) di bawag Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

    Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemilik tanah di kedua-dua kampung tidak perlu merasa risau mengenai isu pencerobohan tanah.

    Menurutnya, warta tersebut cukup untuk membuktikan pemilikan tanah tersebut dan sempadan kawasan tanah yang menjadi milik kampung.

    Selepas pewartaan tersebut katanya, pemilik tanah hanya selangkah lagi sebelum memiliki surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

    "Untuk mendapatkan surat hak milik tanah, pemilik perlu melalui peringkat kedua iaitu Program Pengukuran Lot Individu," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di Kem Putra Sentosa hari ini.

    Hadir sama Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Jamilah Anu dan ADUN Tasik Biru Datuk Henry Jinep.

    Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II menjelaskan, secara keseluruhannya sebanyak 512 kawasan dengan keluasan 838,490 hektar siap diukur manakala 430 kawasan seluas 660,126 hektar diwartakan setakat 31 Mac.

    Sementara itu, beliau turut menyampaikan 30 surat hak milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri untuk kegunaan kediaman 27 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi kawasan Telok Serabang/Telok Melano.

    "Bilangan surat hak milik ini merupakan tambahan kepada 235 surat hak milik tanah kegunaan kepada penduduk di kawasan ini pada 30 April 2016," ujarnya.

    Menurutnya lagi, sebanyak 45 kawasan seluas 23,919 hektar siap diukur melibatkan 19,758 lot di seluruh Sarawak.

    "Daripada jumlah ini, sebanyak 7,609 lot telah dikeluarkan surat hak milik tanah," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " Penduduk Kampung Pueh, Siru Dayak Tarik Nafas Lega, Terima Warta Rizab Komunal "