• Pemuda BN Tak Letak Kuota Calon Muda Untuk PRU14

    Reporter: M. H. W.
    Published: Sunday, 22 April 2018
    A- A+

    MELAKA – Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan sebarang sasaran atau kuota tertentu dalam menyenaraikan calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, kata pengerusinya Khairy Jamaluddin.

    Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata bagaimanapun, sekiranya bilangan calon muda yang disenaraikan pada PRU14 itu melebihi jumlah calon pada pilihan raya umum sebelum ini, ia adalah satu usaha peremajaan yang baik dalam parti.

    “Saya tidak ada peratus tertentu…kami tidak minta macam Wanita minta 30 peratus. Saya cuma mahu ia sama atau pun lebih daripada (jumlah calon) pilihan raya sebelum ini,” katanya selepas pelancaran Briged Gempur Melaka di Stadium Hang Jebat di sini, semalam.

    Majlis itu dilancarkan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka.

    Ditanya tentang calon yang akan bertanding atas tiket Pemuda, Khairy berharap semua bersabar menunggu pengumumannya dalam masa terdekat.

    Beliau berkata Pemuda berikrar untuk memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang diumumkan sebagai calon BN dan berharap calon berkenaan akan melaksanakan tugas dan gerak kerja yang dirancang bagi menarik keyakinan pengundi muda seperti yang diharapkan.

    “Mereka yang diumumkan sebagai calon tentunya telah sedia maklum tentang tugas mereka dan diharap mereka dapat menjalankannya dengan jujur dan bukan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja,” katanya.

    Khairy berkata beliau akan membantu calon yang dipilih sekiranya mereka memerlukan panduan atau tunjuk ajar demi memastikan kejayaan BN pada PRU14. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pemuda BN Tak Letak Kuota Calon Muda Untuk PRU14 "