• Pembersih kuda warga Denmark sebar berita palsu kematian imam Palestin dijel seminggu

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 30 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR 30 April - Seorang lelaki warga Denmark dihukum penjara seminggu atau denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman video berhubung kelewatan pihak polis tiba di lokasi pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin, dua minggu lalu. 


    Hakim Zaman Mohd. Noor turut memerintahkan Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, untuk menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap pada 23 April lalu dan penjara sebulan jika gagal membayar denda.


    “Kamu juga perlu memadam video yang telah dimuat naik di laman Youtube itu,” kata Zaman. 


    Tertuduh yang berasal dari Yaman didakwa merakam video tersebut melalui akaun Youtube atas nama ‘salah sulaiman’ bertajuk ‘Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsy di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil’ di sekitar kondominium Puteri Idaman, Jalan Meranti, Setapak di sini antara pukul 6.50 pagi dan 9 pagi, 21 April lalu. 


    Dia yang bekerja sebagai pembersih kuda itu di negaranya didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Berita Tidak Benar 2018 (Akta 803) yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 


    Tertuduh yang melawat ke negara ini sejak 11 April lalu tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana mempunyai tiga isteri dan enam anak serta berulang kali memohon maaf kepada mahkamah.


    “Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya tidak tahu adanya undang-undang seperti ini dan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya. 


    Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya tindakan menyebarkan berita tidak benar perlu dicegah dan dihalang mengambil kira perbuatan itu menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.


    Mengikut fakta kes, siasatan mendapati pihak polis tiba di lokasi kejadian lebih awal daripada 50 minit dan bukannya tiba selepas lebih 50 minit kemudian seperti yang dinyatakan oleh tertuduh berdasarkan video berdurasi satu minit 49 saat dengan sarikata bahasa Melayu bertajuk ‘Saksi Imam Palestin Dibunuh’. 


    Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) warga Palestin, Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, yang mati ditembak di luar kondominium Idaman Putri, Setapak semasa berjalan menuju ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh kira-kira 6 pagi, 21 April lalu. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Pembersih kuda warga Denmark sebar berita palsu kematian imam Palestin dijel seminggu "