• Pembangkang Tak Faham Makna Konsensus - Anifah

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+

    KOTA KINABALU: Pembangkang tidak memahami makna sebenar 'konsensus' yang dinyatakan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) berkaitan hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata pemimpin pembangkang melakukan kesilapan apabila menyamakan konsensus dengan kompromi tanpa memahami maksud sebenar perkataan berkenaan.

    Sebaliknya, beliau berkata, konsensus yang berasal daripada bahasa Latin bermaksud perjanjian yang kebiasaannya membabitkan dua atau lebih pihak.

    Katanya, dalam konteks MA63, perjanjian asalnya adalah membabitkan lima pihak utama iaitu Malaya, Sabah, Sarawak, Singapura dan United Kingdom.

    "Bagaimanapun, pembangkang khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) bercakap seolah-olah MA63 hanya membabitkan Sabah dan Sarawak, selain menganggap konsensus tidak bermakna sama sekali.

    "Sekarang, Malaysia negara berdaulat dan bukan lagi tanah jajahan, ia mengandungi tiga komponen utama iaitu kerajaan Persekutuan dan negeri autonomi Sabah serta Sarawak.

    "Berikutan itu, penguatkuasaan perjanjian berkenaan atau pindaan terhadapnya memerlukan pembabitan semua pihak. Dalam hal ini, semakan terhadap perjanjian (MA63) tidak boleh dilakukan bersendirian atau oleh Sabah dan Sarawak saja kerana ia turut membabitkan Kerajaan Persekutuan," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung isu 'konsensus' hak rakyat Sabah dan Sarawak di bawah MA63 dalam manifesto BN yang dibangkitkan pembangkang.

    Dalam manifesto itu, BN menggariskan bahawa hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 akan direalisasikan secara konsensus.

    Anifah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan berkaitan penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak berkata, bagi merealisasikan MA63 secara konsensus, satu daripada caranya ialah menerusi penubuhan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

    "Apa pula cadangan pakatan pembangkang. Di peringkat Persekutuan, mereka merancang menubuhkan Jawatankuasa Khas Kementerian untuk menyemak semula MA63.

    "Saya ada dua soalan berkaitan jawatankuasa dicadangkan itu. Pertama, saya sudah menjadi pengerusi bersama jawatankuasa khas seperti itu bersama Nancy dan kita berjaya menurunkan kuasa berkaitan pentadbiran kepada kerajaan Sabah serta Sarawak.

    "Sekarang kita sudah beralih kepada isu berkaitan 40 peratus hak hasil bagi Sabah. Jika dipilih semula, kita akan mencapai lebih banyak kemajuan dalam tuntutan isu ini. Jadi, saya tertanya-tanya adakah pakatan pembangkang benar-benar faham apa yang ditawarkan mereka kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

    "Kedua, dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kementerian, pembangkang mengakui konsensus diperlukan Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk merealisasikan MA63, tidak kira siapa yang berkuasa," katanya.

    Anifah berkata, manifesto pakatan pembangkang yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa sama dipengerusikannya ketika ini adalah mengarut, seolah-olah ia mencadangkan penubuhan Kementerian Pertahanan sedangkan kementerian berkenaan sudah wujud. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pembangkang Tak Faham Makna Konsensus - Anifah "