• Pelancong Britain Saman David Copperfield

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Friday, 20 April 2018
    A- A+

    LOS ANGELES: Ahli silap mata terkenal, David Copperfield terpaksa mendedahkan rahsia satu silap mata popularnya selepas disaman pelancong yang cedera ketika menjadi peserta dalam persembahan berkenaan.

    David Cox, 58, memfailkan saman terhadap Copperfield apabila mengalami kecederaan kepala dan bahu selepas terjatuh ketika menjadi peserta persembahan silap mata di teater Las Vegas pada 2013.

    Peguam Cox, Benedict Morelli memberitahu mahkamah kelmarin, pelancong Britain itu dipilih secara rahsia untuk mengambil bahagian dalam persembahan yang dikenali sebagai ‘Lucky Number 13’.

    Dalam persembahan itu, Copperfield, 61, membaling 13 belon kepada penonton untuk dipilih secara rawak bagi menjadi peserta dalam persembahan berkenaan.

    Semua 13 peserta yang dipilih itu kemudian duduk di pentas terapung dan tertutup sebelum mereka `dihilangkan’.

    Beberapa saat kemudian semua peserta itu muncul di belakang penonton yang terkejut dengan helah itu.

    Dalam perbicaraan berkenaan, Cox mendedahkan mereka sebenarnya dibawa keluar melalui satu laluan rahsia dan terpaksa bergegas berlari untuk muncul di belakang penonton.

    “Cox cedera selepas dia diminta berlari di laluan yang gelap tanpa siapa yang memberi panduan.

    “Laluan yang digunakan itu turut terdapat tempat pembinaan yang ada debu dan serpihan yang menjadi punca Cox terjatuh,” katanya.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Pelancong Britain Saman David Copperfield "