• Pekan Bekenu Nanti Khabar Gembira Daripada PM

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 3 April 2018
    A- A+

    MIRI – Lawatan rasmi dua hari Datuk Seri Najib Tun Razak ke utara Sarawak pada Rabu dan Khamis ini diharapkan membawa khabar gembira terutama bagi penduduk pekan Bekenu yang terletak 50km dari sini.

    Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus berkata lawatan perdana menteri ke Bekenu pada petang Khamis amat ditunggu-tunggu kerana mengharapkan ada “buah tangan” istimewa daripada pemimpin nombor satu negara terutama sekali projek membabitkan kepentingan rakyat.

    “Kami mengharapkan pengumuman istimewa perdana menteri berkaitan projek infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan kerana perlu ada Klinik Kesihatan di kawasan Niah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Rosey berkata cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Niah amat perlu disegerakan bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan khidmat kesihatan berhampiran terutama bagi penduduk yang tinggal di luar bandar.

    “Sekarang ada penduduk di luar bandar yang terpaksa ke Klinik Kesihatan Miri untuk mendapatkan rawatan, lokasi terlalu jauh dari tempat tinggal mereka sehingga ada yang bangun Subuh dan terpaksa beratur panjang hanya untuk mendapatkan nombor giliran,” katanya.

    Selain projek infrastruktur, Rosey mengharapkan projek berkaitan dengan pelancongan turut mendapat perhatian Najib terutama projek pembangunan Pantai Tusan yang kini mengalami masalah pasir susur.

    “Pantai Tusan punyai potensi pelancongan yang besar diharapkan ada peruntukan diberi supaya dapat dibangunkan menjadikan tarikan pelancong penting di sini,” katanya.

    Pantai Tusan terkenal dengan fenomena “Blue Eyes Tear” atau Air Mata Biru yang menjadikan pantai tersebut diterangi cahaya biru pada sebelah malam sehingga ia menjadi tular di media sosial selain daripada tebing batu dikenali sebagai “Batu Kuda” yang menyerupai seekor kepala kuda sedang minum air laut.

    Rosey juga mengharapkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti yang terletak di Bekenu dapat dinaik taraf untuk membolehkan lebih banyak jabatan serta agensi kerajaan beroperasi.

    “RTC Sibuti memainkan peranan penting untuk penduduk setempat terutama kawasan luar bandar, dan diharapkan RTC Sibuti dapat dibangunkan lagi untuk fasa kedua,”katanya.

    Untuk rekod, RTC Sibuti mula beroperasi pada 15 Jan 2015, yang pertama seumpamanya di Sarawak menempatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan,institusi perbankan dan mesin pengeluaran wang automatik.

    Antara jabatan,agensi dan institusi perbankan beroperasi di sana ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Agrobank.

    Mengikut atur cara lawatan diedarkan oleh Jabatan Penerangan Sarawak, perdana menteri dijadual tiba di bandar raya Miri pada petang esok untuk merasmikan penutupan Seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018 di Hotel Pullman di sini.

    Pada sebelah malam, Najib akan menghadiri majlis Jamuan Malam Bersama Rakyat di Eastwood Valley Golf and Country Club di sini.

    Padai Khamis, Najib mempunyai jadual amat ketat menghadiri tiga acara iaitu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta majlis pecah tanah Jambatan Baram di Marudi diikuti penyerahan projek Hidroelektrik Bakun kepada kerajaan negeri Sarawak dan diakhiri dengan tinjauan mesra ke esplanade dan bazar Bekenu sebelum beliau dijadualkan berangkat balik ke Kuala Lumpur. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pekan Bekenu Nanti Khabar Gembira Daripada PM "