• Pasukan Khas Buru Peniaga Naik Harga Sempena PRU

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    Sempena musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) ke-14, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memastikan harga barangan kekal munasabah dan tidak dinaikkan sesuka hati oleh peniaga.

    Justeru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

    Menurut menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pengguna yang ingin membuat aduan mengenai kenaikan harga barang semasa musim PRU ke-14 boleh berbuat demikian kepada pihak kementerian.

    “Saya nak maklumkan dalam musim kempen ini, sesiapa yang menaikkan harga, kita akan tangkap mereka.

    “Ketua Setiausaha KPDNKK juga sudah beritahu semua pegawai dan sekiranya ada orang cuba sabotaj menaikkan harga, maklumkan kepada kementerian, sekali gus kita tangkap mereka habis-habisan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya ketika menghadiri Program Jualan Sentuhan Rakyat di Presint 2, Putrajaya, semalam.

    Turut hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

    Terdahulu, beliau mengumumkan bahawa pihaknya telah menubuhkan pasukan khas yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa yang berpakaian biasa bagi memantau harga barang keperluan pengguna di seluruh negara.

    Jelasnya, tindakan itu diambil bagi mengelak wujudnya sabotaj kepada kerajaan oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh PRU ke-14 kali ini.

    Sehubungan itu, Hamzah berkata sekiranya pihak KPDNKK menerima laporan ada peniaga yang menaikkan harga barangan, mereka tidak teragak-agak mengambil tindakan memandangkan ia bertentangan dengan undang-undang.

    “Penubuhan pasukan khas yang akan memantau harga sepanjang musim pilihan raya itu bagi mengelak wujud sebarang unsur sabotaj yang akan memburukkan kerajaan.

    “Mereka ini sudah bertugas beberapa minggu lalu, malah pegawai KPDNKK juga sentiasa turun padang memantau harga barang,” ujarnya selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Penguatkuasa KPDNKK di Lata Damak, Selama, Perak, Sabtu lalu.

    Tambah beliau, pihaknya bukanlah berniat untuk menakut-nakutkan rakyat bahawa harga barang akan naik, sebaliknya tindakan itu diambil bagi memastikan sentiasa berada pada paras berpatutan. – MYNEWSHUB.CC/EZ

    Subjects:

  • No Comment to " Pasukan Khas Buru Peniaga Naik Harga Sempena PRU "