• Pasaran Hartanah Pejabat Dan Kompleks Beli Belah Tak Seimbang - Bank Negara

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Monday, 2 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Tindakan secara bersepadu perlu dilaksanakan bagi menangani ketidakseimbangan dalam segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah yang kini berada di tahap membimbangkan memandangkan ia boleh menjejaskan kestabilan makro ekonomi dan kewangan.

    Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Perkembangan Risiko dan Penilaian­ Kestabilan Kewangan Pada 2017, usaha itu harus melibatkan pihak berkuasa, pemaju hartanah, pemilik ruang pejabat dan kompleks beli-belah serta pihak berkepen­tingan supaya langkah spesifik diambil dalam menguruskan segmen hartanah tersebut.

    Katanya, risiko dalam segmen tersebut masih tinggi dengan jangkaan 3.53 juta meter persegi ruang pejabat baharu akan memasuki pasaran dengan 140 buah kompleks beli-belah baharu dibina di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor menjelang 2021.

    Akibat buruk

    Keadaan tersebut, jelasnya, akan menjadikan kadar kekoso­ngan bagi ruang pejabat mencapai paras tertinggi sehingga 32 peratus dalam tempoh tiga tahun lagi, malah melebihi paras dicatatkan ketika Malaysia berdepan krisis kewangan Asia iaitu 5.1 peratus pada 1997 dan 25.3 peratus (tahun 2001).

    “Kelewatan dalam menangani isu tersebut mungkin memburukkan lagi keadaan yang tidak seimbang dalam pasaran hartanah sekali gus mengakibatkan limpahan kepada segmen ekonomi yang lain.

    “Ini kerana seperti yang dihadapi Malaysia semasa krisis kewangan Asia, perkembangan buruk dalam pasaran hartanah, jika tidak dikawal, boleh mendatangkan akibat buruk terhadap kestabilan kewangan,” katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan minggu lalu.

    Moody’s Investors Servis (Moody’s) sebelum ini dalam Laporan Bank Malaysia 2017 Meningkatkan Kualiti Aset Stabil, Keuntungan Meningkat menjangkakan bank-bank di Malaysia akan berdepan risiko pembiayaan hartanah komersial tahun ini walaupun kualiti aset kekal stabil disebabkan kebimbangan lebihan bekalan dan perubahan dari segi nilai pasaran.

    Menurut BNM, aktiviti dalam segmen hartanah komersial (terdiri daripada kedai, ruang pejabat dan kompleks beli-belah) kekal lembap dengan keadaan bekalan yang berlebihan berikutan isu dihadapi sektor perniagaan ter­utama sektor minyak dan gas.

    Lebih lembap

    “Jumlah urus niaga harta ta­nah komersial menguncup 8.2 peratus kepada 16,025 buah dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017. Namun begitu, nilai urus niaga meningkat 3.8 peratus kepada RM17.8 bilion dipacu oleh urus niaga yang lebih tinggi bagi hartanah bernilai RM1 juta ke atas.

    “Aktiviti dalam segmen harta tanah komersial didapati lebih lembap di kebanyakan negeri utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

    Situasi tersebut, jelas BNM, menyebabkan bank lebih berhati-hati memberi pinjaman kepada segmen ruang pejabat dan kompleks beli-belah dan ia boleh dilihat apabila kadar kelulusan pinjaman lebih rendah pada 2017 untuk pembinaan dan pembelian harta tanah dengan masing-masing 70.9 peratus dan 72.8 peratus.

    Dalam analisis sensitiviti bertajuk ‘Bolehkah Bank Menyerap Potensi Kejutan Sektor Hartanah yang terkandung di dalam laporan tersebut bagaimanapun mendapati bank mempunyai kemampuan mencukupi untuk menyerap kerugian yang mungkin timbul akibat pelarasan harga hartanah disebabkan portfolio pembiayaan akhir dan juga industri yang bergantung pada prestasi sektor tersebut.- Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " Pasaran Hartanah Pejabat Dan Kompleks Beli Belah Tak Seimbang - Bank Negara "