• Parti pembangkang keliru dengan konsensus MA63

    Published: Friday, 13 April 2018
    A- A+
    Parti pembangkang di Sabah didakwa keliru apabila menyamakan konsensus dengan kompromi dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pembangkang khususnya Parti Warisan Sabah (Warisan) bercakap seolah-olah MA63 hanya melibatkan Sabah dan Sarawak walhal mempunyai tiga komponen utama iaitu Kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

    “Salah satu cara untuk memperkasakan MA63 adalah melalui Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan berkenaan Devolusi Kekuatan, yang diketuai oleh saya sendiri dan Datuk Seri Nancy Shukri.

    “Apakah cadangan Pakatan Harapan di sisi lain? Di peringkat Persekutuan, mereka merancang untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas Kabinet yang mana satu langkah bertindih kerana sudah pun dilakukan kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Dalam Manifesto BN yang diumumkan Sabtu lalu, hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 akan direalisasikan secara konsensus.

    Tambah Anifah, tindakan Pakatan Harapan memberi cadangan bertindih seperti itu menggambarkan tidak peka dengan perkembangan di kedua-dua negeri itu.

    “Ini membuat saya tertanya-tanya apakah mereka benar-benar memahami apa yang mereka tawarkan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

    “Mereka juga ada mencadangkan program pertukaran antara pelajar Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung. Sekali lagi, cadangan ini sudah dilaksanakan oleh kerajaan BN dengan kedua-dua Yayasan Sabah dan Yayasan Sarawak menerajui program ini,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kimanis. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Parti pembangkang keliru dengan konsensus MA63 "