• Najib umum peruntukan RM55 juta untuk Pekan Bekenu

    Reporter: Admin
    Published: Thursday, 5 April 2018
    A- A+
    MIRI, 5 April (Bernama) -- Berita gembira yang dinanti-nantikan penduduk Pekan Bekenu, 50km dari sini, menjadi kenyataan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM55 juta daripada kerajaan persekutuan bagi pembangunan infrastruktur pelancongan dan kesihatan di Bekenu.

    Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerja buat kali ketiga di pekan Bekenu sejak memegang jawatan tersebut sembilan tahun lepas, mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu.

    "Peruntukan RM5 juta lagi untuk pembinaan esplanad di seberang Bekenu," katanya dalam ucapan ringkas pada majlis minum petang di pekan Bekenu hari ini.

    Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu penduduk di pekan Bekenu memberi sokongan penuh kepada calon BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

    Terdahulu Najib yang ditemani Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melakukan tinjauan mesra di pekan Bekenu sejurus selepas tiba dari Bakun menggunakan helikopter.

    Lebih 5,000 orang penduduk pekan Bekenu membanjiri esplanad seawal pukul 10 pagi menanti ketibaan rombongan perdana menteri dan ketua menteri.

    Sementara itu Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-kanak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bekenu, Rosey Yunus berkata, seramai 60,000 penduduk dari kawasan Niah dan Sibuti bakal mendapat manfaat setelah klinik kesihatan baharu itu beroperasi kelak.

    "Kita berharap pembinaan klinik kesihatan yang baharu ini dapat disegerakan kerana sudah mendapat kelulusan perdana menteri," katanya sambil menambah lokasi dicadangkan ialah di Niah.

    Beliau berkata setakat ini terdapat klinik kesihatan kecil beroperasi di sini
    namun tidak dapat menampung jumlah pesakit yang tinggi sehingga terpaksa dirujuk kepada Klinik Kesihatan Miri yang kini semakin sesak

    Mengenai projek esplanad baharu di kampung seberang, beliau berkata, selain meningkatkan potensi pelancongan, ia akan menjadi projek tebatan banjir serta pusat aktiviti sukan air bagi golongan muda di pekan Bekenu. -- BERNAMA
  • No Comment to " Najib umum peruntukan RM55 juta untuk Pekan Bekenu "