• Najib: Rancang Masa Keluar Mengundi 9 Mei

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua pemilih supaya merancang jadual dan masa untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei nanti.

    Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata mengundi adalah hak dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap rakyat Malaysia.

    “Setiap satu undi saudara dan saudari semua adalah penentu kepada masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya menerusi blog NajibRazak.com bertajuk ‘Kewajiban Pada Negara’, malam tadi.

    Sekiranya berkelapangan, beliau menggalakkan semua bakal pengundi untuk membaca mengenai proses dan keperluan hari mengundi seperti keperluan yang perlu dibawa, soal pemakaian dan urusan selepas undi dimasukkan ke dalam peti.

    “Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai kesemua ini, boleh kunjungi laman UndiNegaraku yang memperincikan persiapan sebelum dan pada hari pilihan raya, selain turut menjawab banyak soalan lazim yang mungkin timbul berkaitan pilihan raya,” katanya.

    Pada masa sama, katanya rakyat juga boleh terus mengikuti laman blognya dan meneliti Manifesto BN yang telah dibentangkan dan menjanjikan pelbagai perkara yang akan dilaksanakan untuk bukan sahaja meneruskan kesinambungan kejayaan negara tetapi juga menjamin masa depan negara.

    ​​​​​SPR semalam mengumumkan hari pengundian bagi PRU14 ditetapkan pada 9 Mei, manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 28 April dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Najib: Rancang Masa Keluar Mengundi 9 Mei "