• Najib minta pengundi rancang masa mengundi

    Published: Wednesday, 11 April 2018
    A- A+
    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta pemilih merancang jadual dan masa untuk turun mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei depan.

    Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, mengundi adalah hak dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap rakyat.

    “Setiap satu undi saudara dan saudari semua adalah penentu kepada masa depan negara dan generasi akan datang,” katanya menerusi blog NajibRazak.com, semalam.

    Beliau menggalakkan bakal pengundi membaca mengenai proses dan keperluan hari mengundi seperti keperluan yang perlu dibawa, soal pemakaian dan urusan selepas undi dimasukkan ke dalam peti undi.

    “Untuk membaca dengan lebih lanjut mengenai kesemua ini, boleh kunjungi laman UndiNegaraku yang memperincikan persiapan sebelum dan pada hari pilihan raya, selain turut menjawab banyak soalan lazim yang mungkin timbul berkaitan pilihan raya,” katanya.

    Katanya, rakyat boleh mengikuti laman blognya dan meneliti manifesto BN yang menjanjikan pelbagai perkara yang akan dilaksanakan untuk bukan sahaja meneruskan kesinambungan kejayaan negara tetapi juga menjamin masa depannya.

    Suruhanjaya pilihan raya (SPR) semalam mengumumkan hari pengundian bagi PRU14 ditetapkan pada 9 Mei, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April dan tarikh pengundian awal pada 5 Mei. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Najib minta pengundi rancang masa mengundi "