• Moon, Kim setuju hentikan semua 'tindakan permusuhan', perkenal perjanjian damai

    Reporter: Admin
    Published: Sunday, 29 April 2018
    A- A+

    PANMUNJOM (Korea Selatan), 27 April (Bernama) -- Pemimpin Korea Selatan dan Korea Utara pada Jumaat mencapai kata sepakat untuk menghentikan semua "tindakan permusuhan" antara kedua-dua negara sebagai sebahagian usaha bagi menamatkan Perang Korea yang berlaku antara 1950 dan 1953 secara rasmi serta memperkenalkan satu perjanjian damai.

    Menurut kenyataan bersama yang dinamakan Deklarasi Panmunjom, Presiden Moon Jae-in dan Pemimpin Korea Selatan Kim Jong-un berikrar untuk mengadakan rundingan tiga hala membabitkan Amerika Syarikat atau dialog empat hala yang turut menyaksikan penglibatkan China bagi mengisytihar berakhirnya pergeseran dan menggantikan Perjanjian Gencatan Senjata dengan perjanjian damai pada tahun ini.

    Deklarasi itu dikeluarkan selepas rundingan kedua-dua pemimpin di Panmunjom, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    Kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk menjadikan Zon Penampan Tentera (DMZ) yang dikawal ketat sebagai sebuah "zon damai tulen."

    Selain itu, Moon dan Kim bersetuju untuk menjadikan perairan sekitar sempadan Laut Kuning yang sebelum ini tegang sebagai kawasan "laut damai" bagi mengelak pertempuran bersenjata yang tidak disengajakan.

    Di bawah perjanjian sidang kemuncak itu, kedua-dua pihak akan "sering" mengadakan rundingan ketenteraan, termasuk antara menteri pertahanan masing-masing.

    Mereka juga merancang mengadakan rundingan ketenteraan peringkat am pada Mei. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Moon, Kim setuju hentikan semua 'tindakan permusuhan', perkenal perjanjian damai "