• Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat

    Reporter: Admin
    Published: Monday, 23 April 2018
    A- A+

    KUCHING – Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat bahawa kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

    Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

    “..tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerja beliau ke Sarawak, di bilik VIP, lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini.

    “..tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau,” tambahnya. — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Mohd Puad Zarkashi harus terima hakikat "