• Mengundi Hari Bekerja Bukan Perkara Baharu

    Published: Thursday, 12 April 2018
    A- A+

    PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyambut baik keputusan kerajaan mengisytiharkan 9 Mei, iaitu hari mengundi bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), sebagai hari kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini menegaskan pelaksanaan pilihan raya pada tarikh berkenaan, yang jatuh pada hari Rabu dan hari bekerja, bukanlah sesuatu yang baharu.

    Menurutnya, rekod PRU sebelum ini menunjukkan bahawa ia telah beberapa kali diadakan pada hari bekerja iaitu pada PRU1 (1959), PRU6 (1982), PRU9 (1995) dan PRU10 (1999).

    “Maka dengan pengumuman cuti umum ini ia sewajarnya tidak dijadikan isu,” katanya.

    SPR telah menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April, manakala tarikh pengundian awal ialah 5 Mei.

    Mohd Hashim berkata pemakluman awal berkenaan tarikh PRU14 itu juga membolehkan para pengundi mempunyai masa yang secukupnya untuk merancang perjalanan.

    Sejajar dengan pengumuman cuti oleh kerajaan itu, Mohd Hashim mengingatkan majikan yang masih meneruskan operasi pada hari mengundi, bahawa mereka dikehendaki memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi yang bekerja untuk keluar mengundi.

    Beliau memetik peruntukan Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “25 (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu”.

    Menurutnya, majikan yang tidak membenarkan pekerjanya yang menjadi pemilih untuk keluar mengundi boleh didenda RM5,000 atau satu tahun penjara seperti yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Dalam pada itu, Mohd Hashim turut menyeru serta menggalakkan pihak majikan untuk menggunakan budi bicara bagi memberikan cuti khas atau pelepasan sewajarnya kepada pekerja mereka yang dilantik sebagai petugas PRU14. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Mengundi Hari Bekerja Bukan Perkara Baharu "