• Masyarakat India Tidak Mudah Diperbodohkan Dengan Janji Kosong - Najib

    Reporter: M. H. W.
    Published: Saturday, 7 April 2018
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya masyarakat India di negara ini tidak mudah diperbodohkan dengan janji kosong pakatan pembangkang kononnya masalah membabitkan kaum itu dapat diselesaikan dalam tempoh 100 hari.

    Sebaliknya beliau berkata masyarakat itu bijak menilai dan semakin hari semakin yakin bahawa perubahan besar serta permasalahan telah banyak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

    "Jika dilihat dari segi rentetan sejarah berkenaan dengan untung nasib kaum India, di mana titik perubahannya? Ia bermula pada 2009 ketika saya menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya menjadi perdana menteri," katanya semasa berucap melancarkan Skim Pelaburan Khas Masyarakat India (SPKMI) B40 di sini hari ini.

    Najib berkata sejak daripada itu setapak demi setapak permasalahan masyarakat India termasuk soal dokumentasi, pendidikan dan peluang perniagaan semua telah dapat diberi penyelesaian.

    "Saya tidak fikir masyarakat India begitu bodoh untuk percaya dengan apa yang dijanjikan pembangkang...masyarakat India tahu masa depan mereka adalah bersama dengan BN," katanya.

    Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Presiden MIC, Pengerusi BN Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

    Najib yang juga Pengerusi BN berkata seorang pemimpin sebelum ini tidak mampu menyelesaikan masalah kaum India meskipun telah memerintah selama 22 tahun dan kini dia pula menabur janji kononnya semua masalah itu boleh diselesaikan dalam tempoh 100 hari.

    "Pemimpin selama 22 tahun itu mempunyai sifat buruk, suka menyalahkan orang lain dan bukan dirinya sendiri termasuk skandal kerugian Forex Bank Negara Malaysia (BNM), Ops Lalang dan Peristiwa Memali, semua salahkan orang lain.

    Dia tidak boleh salahkan Presiden MIC Tun S. Samy Vellu yang ketika itu menjadi Menteri Kerja Raya sebagai punca masalah masyarakat India dalam pendidikan, ekonomi dan aspek lain kerana portfolio beliau hanya Kerja Raya, bukan kewangan, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan pendidikan," katanya.

    Justeru, Najib yakin pembangunan negara boleh dijalankan secara inklusif tanpa ada sebarang kaum yang ketinggalan dan dipinggirkan.

    Beliau berkata sewaktu barisan kepimpinan yang lain, selama ini negara telah dibangunkan secara adil dan saksama demi menjamin kejayaan masa depan yang lebih baik. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Masyarakat India Tidak Mudah Diperbodohkan Dengan Janji Kosong - Najib "