• Masuk Penjara Demi Orkestra

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Tuesday, 3 April 2018
    A- A+

    SHANGHAI – Demi mencapai impian menyertai orkestra penjara yang terkenal, seorang lelaki melakukan jenayah bagi membolehkannya dipenjarakan.

    Menurut laporan STV Shanghai, dalam kejadian di daerah Jiading itu, lelaki berkenaan dikenali sebagai Wang, mencuri telefon bimbit pesakit di sebuah hospital untuk memastikan dia ditangkap.

    Dia secara terbuka mendaftar di kaunter hospital menggunakan kad pengenalannya selain kerap melihat ke arah kamera keselamatan bagi memastikan wajahnya dirakam.

    Berikutan itu, Wang ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan serta denda 2,000 yuan (RM1,229) bagi kesalahan mencuri, Februari lalu.

    South China Morning Post memetik pendakwa raya, Yu Zhong berkata, kes itu luar biasa kerana Wang melakukan jenayah berkenaan bukan untuk mendapat wang tetapi mahu dirinya ditahan polis.

    “Pencuri pasti tidak mahu ditangkap. Namun, Wang berharap dia ditangkap segera supaya berpeluang masuk penjara,” katanya.

    Kumpulan persembahan yang diminati Wang, Kumpulan Seni Penjara Shanghai Tilanqiao, pernah memenangi banyak anugerah serta mengadakan lebih 5,700 persembahan.

    Wang yang mengalami penyakit skizofrenia ringan dan pernah mencari rezeki sebagai penghibur berkata, dia melihat kumpulan seni itu sebagai peluang untuknya mengadakan banyak persembahan.

    “Saya inginkan pentas untuk menyanyi. Tilanqiao menyediakan pentas ini memandangkan mereka mengadakan persembahan di banyak penjara.

    “Saya akan mendapat kepuasan itu sebaik masuk penjara. Saya tidak akan melakukan jenayah lagi selepas ini,” katanya yang mempunyai banyak rekod lampau kesalahan mencuri.

    Sementara itu, pihak penjara dalam kenyataan melalui aplikasi WeChat menyatakan kumpulan persembahan Tilanqiao itu diwujudkan bukan untuk melahirkan penyanyi tetapi memulihkan penjenayah.

    “Bukan semua orang boleh menyertai kumpulan ini,” katanya. – Agensi/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Masuk Penjara Demi Orkestra "