• Masuk 1MDB kerana tanggungjawab, gaji sebelum ini lebih lumayan – Arul

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 25 April 2018
    A- A+

    SUBANG JAYA – “Kalau setakat nak makan gaji, pendapatan saya di Abu Dhabi dulu lebih lumayan. Namun sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai kebolehan dalam penstrukturan semula, perbankan dan undang-udang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu dan menyelesaikan isu 1MDB,” tegas Arul Kanda Kandasamy.

    Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sebelum ini adalah Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank serta ahli lembaga pengarah Global Investment House (Kuwait).

    Menurut Arul, beliau bersyukur kerana ahli keluarga dan rakan terdekatnya memahami tugas yang beliau sedang laksanakan kerana ‘tiada siapa’ yang mahu melakukannya.

    Namun Arul mengakui, di sebalik anggapan ramai pihak yang beliau mungkin ‘stres’ dengan tugasan tersebut, sebenarnya beliau tidak begitu tertekan dengan tanggungawab yang dipikulnya.

    ” Saya hendak diingati sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai kelebihan dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu di syarikat ini.

    ” Saya tidak begitu tertekan dalam menguruskan 1MDB sebab saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya bukan yang buat masalah, saya datang sebagai orang yang hendak menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah dan penerangan mengenai 1MDB dalam program ‘Bicara Subang’ anjuran Kelab Sahabat N87 di USJ15 di sini malam tadi.

    Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada London School of Economics dan Ijazah Sarjana Undang-Undang University College London berkata, ketika mengambil tugas di 1MDB kira-kira tiga tahun lepas, beliau telah ditawarkan kontrak 3+1.

    Tempoh tersebut, katanya, tamat pada 31 Disember tahun lalu.

    Tambahnya, dengan persetujuan bersama, kontrak itu disambung setahun lagi seperti mana yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

    ” Tujuan kontrak itu disambung adalah supaya saya dapat membuat ‘hand over’, saya rasa adalah lebih sesuai pemegang saham dan Lembaga Pengarah 1MDB membuat pengumuman pada masa yang sesuai mengenai ‘langkah seterusnya’ Arul Kanda,” ujarnya.

    Dalam pada itu Arul mengakui, sebagai manusia, beliau tidak dapat lari daripada berasa ‘geram’ apabila pihak pembangkang berkata yang bukan-bukan mengenainya seolah-olah beliaulah yang bertanggungjawab di atas permasalahan yang melanda 1MDB.

    Namun katanya, beliau memahaminya kerana ramai rakyat juga marah mengenai apa yang terjadi dalam syarikat tersebut.

    ” Sebab itu kita buat sesi penerangan pada orang ramai, tanyalah apa yang mereka mahu. Saya terbuka dan bersedia untuk menjawabnya,” kata Arul –theRakyat.com


    Subjects:

  • No Comment to " Masuk 1MDB kerana tanggungjawab, gaji sebelum ini lebih lumayan – Arul "